Tuesday, September 06, 2005

Asas Pemikir

Berbicara bersama pemikir daripada Bahagian Khas di Jabatan Penerangan (JASA) beberapa hari yang lepas telah mencungkil kembali memori saya berkenaan sesuatu yang amat pokok tentang pemikiran. Ketika saya di tingkatan 4 lagi.

Mengenai Pemikiran, Dan Asas Utama Dalam Berfikir.

Berfikir (dalam erti kata mencari, meneliti dan menghurai) perlu mematuhi satu konsep penting yang tidak seharusnya diabaikan, sebagai seorang yang beragama Islam. Barangkali kalau bukan kerana agama, berfikir tidak akan sesyadid ini.

Fikirlah apa sahaja dengan logik akal, tetapi waspadalah andai ia mula ada kaitan dengan Tuhan dan Zat-Nya, sifat-sifat-Nya, serta segala yang ghaib dan tidak nyata, juga perbuatan-Nya dan segala-gala yang ada kaitan dengan-Nya.

Saya meletakkan kaedah ini sebagai kaedah pertama dalam kaedah Pemikir Islam. Kaedah lain perlu difikirkan tetapi pastinya, tidak patut mengabaikan kaedah pertama dan terutama ini. Kita mengakui kehebatan pemikiran Barat dalam ‘pencarian’, tetapi kebanyakan ‘sesat’ akibat menaakul terlalu pesong daripada hakiki apabila cuba melampaui apa yang tidak mampu dilampaui.

Apabila mereka menaakul mengenai zat Tuhan, sifat-Nya, bahkan perbuatan-Nya, mereka tiada hawas waspada dalam diri kerana tiada agama. Segala yang berkaitan dengan Tuhan ibarat laut dan pemikiran kita sangat kecil nilainya ibarat kuman (atau lebih kecil lagi), belum tentu kalau kita duduk dalam lautan sejuta tahun kita tahu akan segala isinya.

Mungkin lebih tepat, kita yang sebesar kuman di dalam laut, dibanding beza ilmu kita dengan hakiki Tuhan yang melampaui bukan sahaja laut bahkan daratan, langit, cakerawala, hingga ke alam jiwa dan semua itu, bukan sahaja kita bahkan malaikat, masih sangat jahil walau sangat karib dengan Pencipta Segala-Galanya.

Saya menegaskan kaedah ini kerana kesal apabila kita (yang barangkali bijak dan genius) berfikir tetapi langsung mengabaikan asas utama ini sedangkan kita beragama Islam, sangat wajar bahkan mesti berhati-hati dan waspada apabila berbicara mengenai Tuhan dan segala perbuatan-Nya. Hebat-hebat kita menaakul barangkali tepat di logik akal (yang seluas kuman di lautan) tetapi hakikatnya siapa tahu? Barangkali terlalu sesat dengan realiti bila dibanding dengan ilmu Tuhan yang seluas isi kandungan lautan dan langit serta isi alam dan cakerawa, juga segala-galanya.

Maafkan saya jika tulisan ini tidak begitu menjelaskan, tetapi fahami sahaja dengan begini. Fikirkan apa sahaja, tetapi hati-hati kalau ia ada sangkut paut dengan Tuhan. Jelas dalam hadis yang melarang kita berfikir mengenai zat Tuhan, kerana itu adalah gangguan daripada syaitan. Bahkan diminta istighfar, dan berhenti berfikir. Itu bukti ketidaklampauan akal.

Saya meminta waspada apabila berkaitan dengan Tuhan kerana sedar dan faham, kita ini orang Islam, bukan?

al_jantanie
manhumi_ilm

No comments: