(Menurut mesej itu juga) D.M bertanyakan mahasiswa al-Azhar (saya tidak pasti dalam sesi perjumpaan yang mana satu, sebab ada banyak sesi di banyak tempat) – siapa ada baca suratkhabar, tiada seorang yang angkat tangan. Bila diberi peluang bertanya, mahasiswa al-Azhar asyik bertanya – apa sumbangan kerajaan. Bahkan D.M turut melaporkan bahawa seorang yang berpangkat besar dalam kuliah di sebuah muhafazah menyatakan bahawa – mahasiswa al-Azhar ini summun, bukmun, umyun (pekak, bisu, buta) kerana di dalam kuliah apabila doktor bertanya faham atau tidak, mereka tidak jawab pun.
Perlu saya jelaskan di sini, saya menulis kembali apa yang saya terima. Benar atau tidak tuduhan itu, boleh dibuktikan oleh mereka yang menonton rancangan itu sendiri di Malaysia.
Biarlah saya menulis sesuatu yang saya tahu berlaku. Kalau salah tolong betulkan, kalau kurang tolong tambah.
Satu, D.M datang demi misi Islam Hadari. Dua, Muntada (Majlis atau yang dimaksudkan di sini adalah kelab) Islam Hadari berjaya ditubuhkan di Mesir sekalipun gagal ditubuhkan di Jordan dan Syria (menurut maklumat yang saya terima). Tiga, D.M diserang dengan soalan-soalan yang menyesakkan hingga beliau naik marah. Empat, mengadakan beberapa sesi perjumpaan dengan mahasiswa al-Azhar di beberapa tempat, dalam beberapa hari yang berbeza, bukan di satu tempat dan di satu masa tertentu.
Sebagai seorang Azhari, satu - saya lebih suka untuk tidak menjawab dan membersihkan nama sendiri kerana sikap yang baik adalah menerima kritikan supaya kita membetulkan diri. Ia peluang terbaik bermuhasabah, dua- apabila mahasiswa al-Azhar dihentam secara keseluruhannya, ia adalah satu penipuan kerana adakah seluruh manusia itu satu jenis? Apakah langsung tiada yang pandai? Semuanya bodoh? Adakah semuanya tidak membaca suratkhabar? Adakah semuanya bila ditanya doktor tidak menjawab, kerana ada juga yang bukan sahaja menjawab pertanyaan doktor, malah bertanya doktor. Adakah semuanya tidak boleh berbahasa Arab, langsung tiada? Adakah semuanya tidak bergaul dengan masyarakat tempatan, atau cuma sebahagian sahaja? Oleh kerana D.M adalah orang cerdik pandai maka barangkali apabila ia menggunakan lafaz kullu, ia bermaksud bak’du. (Lafaz semua, tetapi bermaksud sebahagian. Uslub ini banyak digunakan dalam al-Quran dan hadis).
Perlu juga saya ingatkan kepada mahasiswa al-Azhar supaya berlapang dada dan tidak melenting, kerana kalau kita melenting kita akan dituduh ekstremis, tetapi jangan juga berdiam diri kerana nanti kita dikatanya jumud, pasif. Ambillah pengajaran dan peluang memperbaiki diri.
Tetapi perlu juga nama al-Azhar dibersihkan kerana sekiranya tidak dibersihkan orang akan menolak mentah-mentah. Saya menyatakan sebagai begini.
Tidak boleh berbahasa Arab. Kemahiran dalam Bahasa Arab itu ada 4. Satu membaca. Dua menulis. Tiga mendengar. Empat bercakap. Saya akan katakan bahawa, jarang-jarang ada orang yang boleh menguasai semuanya. Jadi, kalau susah ditemui, jangan salahkan kami seluruhnya. Kelemahan membaca menjadi sangat ketara apabila sistem pembelajaran di Malaysia terlalu mementingkan kejayaan. Kerana itu, pelajar dibentuk supaya menuntut ilmu demi peperiksaan. Bahkan, guru turut ditekan sekiranya prestasi menurun dari tahun ke tahun. Langkah termudah adalah – suap. Jangan latih pelajar membaca sendiri, sebab ia sangat lambat. Kalau buat juga begitu nanti muqarrar lambat habis. Keputusan periksa akan merundum jatuh. Sekolah akan malu. Sekiranya D.M ikhlas mahu membetulkan keadaan, dan dengan kedudukan yang agak kukuh dalam kerajaan, mengapa realiti ini tidak dibetulkan sejak dari Malaysia lagi?
Saya tidak mahu mengulas mengenai kelemahan menulis. Semua orang yang memerintah itu penuliskah? Atau pemberi arahan sahaja? Mereka intelek bukan?
Kelemahan mendengar dan bercakap. Cuba himpunkan seribu orang yang saling tidak kenal mengenali dan cuba buat analisis berapa ramai yang sikapnya peramah. Kemudian, minta seribu orang itu berbual dalam Bahasa Melayu sesama mereka, bukan bahasa Arab. Kemudian beritahu saya, betapa mereka semua itu adalah orang yang tidak menguasai Bahasa Melayu padahal sudah duduk di Malaysia sejak lahir!
Sistem pembelajaran di Malaysia kurang menekankan (atau mungkin tidak ada) konsep mendengar dan bercakap. Lantas pelajar berasa sangat asing dengan sebarang bunyi. Kalaupun ada, apabila mereka sampai ke Mesir, bunyi bahasa Arab yang mereka dengar sangat lain dari apa yang mereka belajar. Fahami sebagai, ada dua bahasa yang perlu dipelajari secara serentak. Ish, saya sudah berjela-jela. Perlu diringkaskan.
Maafkan kami D.M kalau kami tidak berapa tahu tentang dunia hari ini dan tentang Malaysia. Kan D.M tahu kami ini jurusan Syariah, Usuluddin, Lughah Arabiah, Dirasat, tetapi dipaksakan juga menguasai Bahasa Inggeris, IT, komputer, kepimpinan, dan segala jenis kemahiran supaya boleh menghentikan segala kritikan kalian. Kan kami agamawan yang mesti tahu segala-galanya. Lainlah kalau U* atau U** atau U-U yang lain. Boleh tumpu bidang mereka saja. Tapi kami tidak. Mesti tahu bahasa Arab, bahasa Inggeris, tahu komputer, tahu internet, tahu IT, tahu kepimpinan, tahu kemahiran itu, kemahiran ini, kerana kami inikan siswa super yang mesti tahu semuanya. Kalau tidak tahu satu nanti dikatanya kami bodoh, jumud. Em. Dan rasanya D.M patut belikan kami komputer seorang sebiji, berikan duit untuk pasang internet, berikan juga duit untuk beli kitab-kitab Syariah, Usuluddin dan Lughah (semua orang mesti ada semua kitab itu, kan minta kami tahu semuanya). Dan lebih penting lagi kami mahu tanya, mengapa susah dapat pinjaman atau zakat lambat sampai hingga kami mahu makan pun perlu berkira, atau mengapa ada zakatnya kena tarik balik? Jadi, macam mana kami mahu kuasai segala-galanya?
Jadi, pelajar yang pandai-pandai harus ke sini sebab di sini kamu mesti jadi pelajar super bijak dan menguasai segala-galanya. Kalau di Universiti dalam negara kamu tidak akan dipaksa mengetahui segala-galanya. Cukup dengan bidang kamu saja.
Saya masih ingat ketika saya mengajar di sebuah sekolah dahulu, apabila bertanyakan anak murid yang ada di depan mata, sesiapa ada soalan, semuanya senyap. Barangkali anak-anak murid saya itu semuanya pekak, bisu dan buta. Maafkan saya, anak-anak murid. Ini mengikut teori D.M. Kalau ikut teori orang tua-tua, orang Melayu ini pemalu. Atau kalau ikut teori anak dara yang kalau ditanya pasal kahwin, diam itu maknanya setuju.
Bahkan tidak keterlaluan kalau saya bercerita pengalaman saya ketika mahu mengutip undi dalam satu mesyuarat – Berapa yuran tahunan? Lima ringgit atau dua ringgit? Undi dikutip dengan mengangkat tangan. Saya katakan pada seorang kawan, kalau hendak kutip lima ringgit, kena mulakan undian angkat tangan pada pilihan dua ringgit. Pasti semua tak angkat tangan. Sebab malu. Sebab masing-masing akan tengok orang lain. Jadi secara automatik, kita kata – semua nampaknya setuju kutip lima ringgit. Sebab tiada yang angkat tangan untuk kutip dua ringgit. Alangkah! Em, D.M. Mengapa hari itu tidak tanyakan dulu – Siapa yang tidak baca suratkhabar. Saya ulangi. Tanyakan – siapa yang tidak. Mesti semua tidak angkat tangan sebab malu. Jadi, itu bererti semua baca surtkhabarkah?
Perlu juga saya tegaskan di sini, saya tidak bermaksud mahu membersihkan nama kalian (Azhari) kemudian dengan tenang kalian (Azhari) merasa senang lenang dan tidak mahu memperbaiki diri. Kritikan D.M itu ada benarnya juga. Saya tertarik mahu petik satu. Iaitu – kuasai Bahasa Arab!
Mohd Zaki
No comments:
Post a Comment