Monday, September 05, 2005

Neraca, Wajarkah Pilih Yang Ringan?

(Jumlah Pengunjung Setakat Ini :: 1875)
Neraca, wajarkah pilih yang ringan?

Musim Pilihanraya Kampus tiba lagi. Sekali lagi dan entah sampai bila saya akan mengambil mauqif sebegini. Barangkali mauqif yang sebegini akan terus relevan selagi sebab berada kukuh di tempatnya.

Mengenai pemilihan kepimpinan. Kewajaran penerimaan dan penolakan.

Tahun sudah, Syiba (shiba’! Nama anda sesuai dieja dengan huruf y lah) menyangkal saya dengan beberapa hujah yang saya tidak menafikan kebenarannya, tetapi persoalan ketua (bagi saya) bukan terhad kepada melihat, ke arah mana neraca memberat, tetapi perlu diteliti juga, ke arah neraca yang meringan!

Betul, melatih kepimpinan adalah satu tugas penting dalam sejarah umat Islam. Khilafah atau kepimpinan adalah salah satu tunjang yang penting demi menjaga keutuhan Umat Islam. Itu kebenaran yang tidak saya nafikan. Itu adalah bahagian neraca yang memberat. Tetapi jangan lupa, Abu Hurairah pernah menolak jawatan yang ditawarkan kepadanya oleh Umar. Adakah Abu Hurairah belum cukup baik dan belum cukup alim? Adakah Umar sudah tersilap langkah dan jahil dalam pembahagian tugas? Barangkali inilah yang saya katakan, kita perlu melihat juga bahagian neraca yang meringan.

Saya ada sebab mengapa menolak dan mengapa penolakan ini bukan satu kesalahan.

Pertama, menjaga wala’ perlu kepada orangnya. Sekiranya pemimpin dipilih dan wala’ dicemar, ia semacam satu musibah.

Kedua, pemimpin tidak sewajibnya orang yang hebat, tetapi perlu dibantu oleh orang yang hebat. Hassan Al-Banna ketika ditanya mengenai pemimpin sesudahnya, beliau menjawab; pilihlah orang yang paling lemah daripada kalangan kamu, kemudian bantulah dia beramai-ramai supaya menjadi orang yang paling kuat diantara kamu.

Ketiga, jangan menjadikan kepimpinan sebagai galang ganti kepada pelepasan tugas. Jangan melantik orang sebagai pemimpin kalau sudah dari awal-awal lagi sudah tidak mahu membantunya. Mengapa semacam sudah sinonim ketua dipilih dari kalangan orang yang hebat, kemudian pengikut semuanya lari semacam memberi tahu suatu hakikat – Ketua sudah hebat, jadi apa perlunya pada pengikut?

Keempat, memilih kepimpinan perlu melihat kepada penjagaan keseimbangan dalam pertubuhan. Menjaga keseimbangan bererti, jangan sampai wujud satu tugas yang langsung hilang pengurusan. Barangkali saya sesuai untuk tugas A, tetapi kalau tugas B akan terabai tanpa saya, apa ertinya saya mengambil tugas A? Sedangkan tugas A masih boleh diuruskan oleh orang lain!

Kelima, kepimpinan banyak menghilangkan suara, kerana ketua yang baik bukanlah seorang yang suka menjawab dan mempertahankan diri. Ketua yang baik adalah ketua yang belajar menerima kesalahan dan apabila dipersoal, ia lebih bersetuju dengan khalayak. Itulah nilai kesatuan dalam pengorbanan yang besar harganya. Sedangkan saya? Anda perlukan suara saya tetapi dalam masa yang sama mahukan saya menutup mulut?

Keenam, anda silap memberi takrifan kepada ketua. Siapa ketua seperti dalam takrifan anda? Ketua adalah orang yang membuat keputusan, dan setelah keputusan dibuat, dia akan turun dari nama ketua, bersama-sama anak buah melakukan kerja beramai-ramai. Ketua kurang wajar dipilih dari kalangan orang yang hanya tahu membut kerja, tetapi kurang waktu untuk memikirkan keputusan yang wajar diambil. Ya, saya kekurangan waktu untuk memikirkan terlalu banyak perkara, dengan tugas yang sudah sedia ada. Jadi, pilih ketua yang boleh menumpukan fikiran untuk membuat keputusan!

Ketujuh, ada individu yang sudah ada tugasan sebelum diberi tugas, sudah jadi ketua sebelum dilantik. Jadi mengapa mahu memenuhkan sebelah neraca dan mengosongkan langsung neraca yang separuh lagi? Itu tidak wajar bukan?

Kelapan, membentuk kesatuan bukan dengan nilai satu orang. Kesatuan dibentuk dengan harga sebuah jamaah. Oleh itu, pilihlah ketua dari penyatu bukan pembelah. (saya bukan pemecah, tetapi banyak ide saya yang dilihat kontra dan sebagai pemikir, ia suatu kewajaran kerana saya memandang dari sudut yang berlainan.)

Kesembilan, kita masih ramai pemimpin bukan? Jadi jangan gopoh.

al_jantanie
manhumi_ilm

pena_sastera

No comments: