Majalah : SUKEJ
Edisi : 108
Kolum : Kalam Editor
Jenis : Artikel
Terbitan : 2005
Oleh : Mohd Zaki M.Noor
Kalam Pemangku Ketua Editor
Kebelakangan ini, banyak yang SUKEJ cuba lakukan untuk anda. Antaranya, menjayakan pertandingan menulis artikel, cerpen dan sajak; dan sebagai penghargaan, karya beberapa pemenang disiarkan dalam edisi 108 ini beserta beberapa ulasan daripada para pengadil. SUKEJ mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada para pengadil; A Ubaidillah Alias, Syarifah Salha Syed Ahmad, Faezatul Herda Mohd Azaman dan Noor Suriana Abd Razak.
Barangkali siapa tahu, salah seorang peserta yang menyertai pertandingan reka kulit SUKEJ mendapat penghargaan tertinggi apabila pihak SUKEJ bersetuju kali ini untuk menjadikan hasil penyertaan sebagai kulit rasmi edisi 108 ini. Tahniah kepada Muslim bin...juga Omar Md Rasib kerana menyertai pertandingan ini.
Kembali kepada fokus SUKEJ kali ini. SUKEJ 108 membincangkan mengenai satu tajuk yang selalu kita dengar, tetapi tidak selalunya kita hadamkan – Israeliyat. Ia bukan rentetan boikot Yahudi dan Israel (SUKEJ 107) tetapi adalah suatu kupasan ilmiah kepada satu perkara yang sudah lama diperbincang oleh ulama-ulama Islam. Jangan salah duga. Israeliyat belum mati dan perbincangannya masih belum tamat, kerana akhir-akhir ini, musuh Islam khususnya dari barat makin galak melakukan serangan informasi dan maklumat, berbentuk tahrif (pemesongan) daripada hakikat sebenar agama Islam.
Walaupun pada asalnya, Israeliyat adalah khabaran palsu daripada Bani Israel, tetapi sesetengah ulama' juga memasukkan (perkara-perkara palsu daripada mana-mana musuh Islam) sebagai Israeliyat. Ini bermakna, serangan dan peperangan maklumat bukan sahaja telah lama bermula, bahkan ia belum tamat!
Persoalannya, adakah Israeliyat ini mengancam umat Islam, atau ia hanya satu usikan yang tidak harus kita pedulikan? Adakah ia perlu ditangani? Jika benar ia mengancam, sejauh mana? Adakah terlalu bahaya hingga mempercayainya mengakibatkan akidah kita boleh sesat?
Israeliyat telah memasuki sebahagian besar kitab-kitab tafsir hingga menerbitkan persoalan; jika benar ia bahaya, mengapa ia tetap dimasukkan oleh ilmuan yang tidak harus kita ragukan ilmunya? Ulama' dahulu bahkan lebih tahu tetapi mengapa? Persoalan ini bercantum dan berbaur hingga menerbitkan persoalan baru; adakah hanya kitab tafsir atau sebenarnya, serangan musuh sudah melebar hingga ke seluruh ilmu dan kitab-kitab kita?
Menyedari peri pentingnya tajuk ini untuk dikupas, SUKEJ memberi pengiktirafan tertinggi kepada Ustaz Ahmad bin Yusof untuk membongkar Israeiliyat dari perspektif ilmu yang perlbagai. Ustaz Ahmad, sekarang giliran kita pula!
Kalam Pemangku Ketua Editor
No comments:
Post a Comment