Majalah : SUKEJ
Edisi : 107
Kolum : Untukmu PMRAM
Jenis : Artikel
Terbitan : 2005
Oleh : Mohd Zaki M.Noor
Untukmu PMRAM : PMRAM, satu nama yang bernilai.
Oleh : al_jantanie
Bercakap mengenai PMRAM dan kewujudannya adalah satu perkara yang sudah diketahui umum. Majoriti tahu nilai dan kepentingan PMRAM dalam menaungi mahasiswa-mahasiswi Al-Azhar. Kita layak berbangga dan bersyukur, kerana PMRAM bukan sahaja dikenali oleh mahasiswa kita juga rakyat Malaysia, bahkan dikenali oleh mahasiswa-mahasiswa negara lain.
Tetapi, mengapa tidak kita jadikan nama ‘PMRAM’, suatu nama yang bernilai?
Biar saya jelaskan maksud saya. PMRAM dalam tempoh beberapa tahun sebelum ini mengalami tekanan yang amat berat. PMRAM mengalami tempoh duka lara yang amat perit. Walaupun akhir-akhir ini ranjau dan liku semakin menyisih jauh, tetapi kekuatan PMRAM belum ‘pulih’ sepenuhnya. Mengapa? Kerana ahli semacam enggan menjadikan nama PMRAM, satu nama yang bernilai.
Barangkali, ayat yang sebegitu belum menjelaskan segala.
Sebagai contoh apabila pertandingan dibuat, mengapa tidak kita syaratkan sahaja - semua peserta mestilah ahli PMRAM! Akandatang, Perayaan Menyambut Hari Kemerdekaan akan menjelang tiba. Ayuh letakkan sahaja syarat - pemain mestilah ahli PMRAM. Itulah syarat pertama dan terutama. Ayuh kita ingatkan ahli, tentang nilai sebenar nama ‘PMRAM’, walaupun pada satu pertandingan biasa.
Nama PMRAM tidak dinaiktarafkan. Nama PMRAM hanya disimpan di dalam kad, dan akan dikeluarkan apabila dipinta pihak polis. Nama PMRAM tidak dijadikan satu ingatan penting dalam kotak pemikiran ahli, bahawa persatuan yang menaungi mereka adalah PMRAM. PMRAM hilang taring, kerana kelekaan ahli. Barangkali, PMRAM hilang kekuatan, kerana ahli-ahlinya sendiri tidak sedar – Saya adalah ahli PMRAM.
Ini bukan satu tulisan mengampu atau satu fikrah sia-sia. Demi memperkasa kekuatan yang hilang, kita perlu mempopularkan nama PMRAM, hingga ia mampu meniti dari bibir ke bibir, dari kertas ke kertas, dari lembar ke lembar; dan apabila PMRAM diulik cabaran sekali lagi, kita boleh melihat, berapa sebenarnya bilangan ahli PMRAM dari sejumlah lima enam ribu ini.
Barangkali ada segelintir ahli yang tahu tapi lupa, bahawa dia adalah ahli PMRAM. Apabila dalam krisis ditahan polis dia mengaku ahli, tetapi apabila persatuan dilanda krisis, masing-masing jadi alpa, bahawa sebenarnya, dia adalah ahli PMRAM! Akhirnya, dalam keadaan yang sebegitu, PMRAM kurang jari tangan dan kaki untuk beraksi. Akhirnya, dalam krisis sedemikian itu, PMRAM kurang nafas mahu berlari.
Biar saya kecilkan skop saya. Kerana bermula dari sesuatu yang kecil, ia membawa kesan kepada sesuatu yang besar. Andai dalam perkara yang sekecil ini nama PMRAM jadi penting dalam pemikiran ahli kita, tidak mustahil nama itu menjadi penting dalam hal-hal yang lebih besar. Persoalannya, bagaimana mahu menjadikan nama PMRAM penting dalam pemikiran ahli kita?
Kekuatan PMRAM adalah kerana kesatuan. Membentuk kesatuan tidak lari dari kesatuan fikrah. Kesatuan fikrah terhasil daripada wujudnya titik temu antara dua perkara penting; kewujudan PMRAM dan kewujudan ahli. Wujudkan nama PMRAM di dalam pemikiran ahli-ahli kita!
Anda mahu main bola, anda mestilah ahli PMRAM. Serta merta mercup dalam pemikiran ahli – Ya, saya ahli PMRAM. Anda mahu mengikuti rehlah ke Sinai, anda mestilah ahli PMRAM. Sekali lagi ahli akan ingat dengan jelas – Ya, saya ahli PMRAM. Anda mahu menerokai Port Said, anda mestilah ahli PMRAM. Ahli akan terbiasa menjawab dalam hatinya; Ya, saya ahli PMRAM. Hingga apabila nama itu lekat dalam pemikiran ahli barulah mereka akan sedar – Tak kenal maka tak cinta.
Menanam rasa cinta kepada persatuan yang selama ini menyumbang jasa untuk ahli, perlu kepada usaha kita menjadikan nama PMRAM, satu nama yang bernilai. Tidak kira BKAN, DPM mahupun PMRAM sendiri, perlu menggunakan ilmu psikologi ini demi mengembalikan kekuatan yang memudar. Kalau usaha kita dalam persepakatan ini berjaya, tidak mustahil lagi meraih keizzahan daripada kesatuan dan keselarasan fikrah.
Mahasiswa kita adalah cerdik pandai. Barangkali, (atau lebih tepat dikatakan sudah pasti) kekuatan yang terbit dalam perhimpunan super raksasa (perhimpunan solat hajat sebelum imtihan dan pengumpulan tanda tangan membantu anak-anak Selangor) bisa menyedarkan kita; apabila nama PMRAM berada dalam hati ahli-ahli kita, kekuatan yang luar biasa mampu terbit dan menggoncangkan suasana. Itulah nilai cendiakawan. Suaranya didengari dan diamati.
Demi bijak pandai yang dihargai, satu usaha perlu dilaksana segera. Jadikan nama PMRAM, satu nama yang bernilai. Ia tidak sia-sia, sampai bila-bila.
No comments:
Post a Comment