Wednesday, January 18, 2006

Hikmah

Majalah : SUKEJ
Edisi : 107
Kolum : Pendapat
Jenis : Artikel
Terbitan : 2005
Oleh : Mohd Zaki M.Noor

Pendapat : Hikmah.
Oleh : al_jantanie

Seringkali apabila kita menyebut perkataan dakwah, kita sering mengaitkannya dengan perkataan hikmah. Berdakwah dengan berhikmah. Namun mungkin kita lupa, bahawa dakwah dengan berhikmah bukanlah satu-satunya cara, kerana ada manusia yang tidak dapat menerima hikmah tersebut ( mungkin atas sebab kejahilan atau keras kepala dan sebagainya). Lebih-lebih lagi, dakwah perlu disesuaikan berdasarkan tahap pemikiran manusia. Memang benar, dakwah dengan berhikmah adalah jalan pertama yang perlu kita gunakan, namun jangan abaikan juga wasilah dakwah yang lain. Kita sangat terkesan dengan firman Tuhan dalam Surah Al-Nahl ayat 125:

ادع إلى سبيل ربك بالحكمة والموعظة الحسنة وجادلهم بالتي هي أحسن إن ربك هو أعلم بمن ضل عن سبيله وهو أعلم بالمهتدين

Mafhumnya : Serulah (manusia) ke jalan Tuhanmu dengan kebijaksanaan dan pengajaran yang baik, dan berbantahlah ( berdebatlah ) dengan mereka dengan ( jalan ) yang terbaik. Sesungguhnya Tuhanmu lebih mengetahui orang-orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk (1)

Takrif Hikmah.

Berkata Ibn Jurir, hikmah adalah segala yang diturunkan oleh Allah s.w.t dalam kitabNya, sunnah-sunnah Nabinya, juga peringatan-peringatan yang baik, kerana ia mengandungi tegahan-tegahan, juga mengandungi peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam umat manusia, mengingatkan kepada mereka supaya mereka berhati-hati dengan azab Allah. (2) (Ibn Jurair dalam ulasannya menggabungkan antara hikmah dan mau’izoh hazanah sebagai satu jalan dakwah.)

Pendapat yang sama diberikan oleh Professor Mohd Ali As-Sobuni yang menyatakan bahawa seruan dakwah ke jalan Tuhan perlulah dijalankan dengan ( uslub yang bijaksanana, lemah lembut, dengan sesuatu yang dapat memberi kesan kepada mad’u juga memberi faedah, dan bukannya dengan tengkingan, celaan, atau dengan cara yang keras.)(3) Ini adalah ulasan beliau ketika menerangkan perkataan hikmah yang digabungkan dengan mau’izoh sebagai satu konsep dakwah.

Penulis tertarik untuk mengambil pendapat kedua, di antara lainnya membezakan antara cara berhikmah dan mau’izoh hasanah sebagai dua cara dakwah yang berlainan. Menurut Professor Wahabah Al-Zuhaili, proses dakwah ke jalan agama adalah dengan melalui ( salah satu daripada tiga jalan : cara berhikmah, mau’izoh hasanah ( peringatan yang baik ) dan perdebatan dengan cara yang lebih baik.) (4)

Hikmah menurut beliau adalah ( kata-kata yang benar yang mesra mad’u, mengesan dalam diri dengan sebaik-baik kesan.) Adapun mau’izoh hasanah adalah ( peringatan dan tegahan yang memberi kesan dalam diri mereka, mengingatkan mereka supaya berjaga-jaga dengan azab Allah)(4)


Pendapat yang serupa diberikan oleh Imam Muhammad Jamaluddin Al-Qasimi yang menyatakan bahawa hikmah adalah ( kata-kata yang jelas dan benar, iaitu dalil yang menjelaskan kebenaran, dan mengenepikan perkara yang ragu-ragu.) Mau’izoh hasanah pula diertikan sebagai ( peringatan yang lembut dan pemberitahuan peristiwa-peristiwa yang menakutkan, supaya mereka berjaga-jaga daripada azab Allah.)(5)

Perbezaan pendapat ini berlaku kerana ulama’ berbeza pendapat tentang maksud hikmah. Dipetik daripada kitab Tafsir Al-Jalalain antaranya menyebut ( Hikmah adalah ayat-ayat Al-Quran) dan (maui’zoh hasanah adalah peringatan-peringatan di dalam Al-Quran atau kata-kata yang lembut.)(6) Oleh kerana sebahagian mereka menakrifkan hikmah sebagai Al-Quran itu sendiri dan mau’izoh hasanah sebagai peringatan yang baik, maka ia sememangnya wajar dianggap sebagai satu wasilah dakwah, dan bukannya dua wasilah yang berbeza.

Lebih jelas lagi apabil kita memerhatikan kata-kata Imam Az-Zamakhsyari yang menyatakan ( hikmah adalah kata-kata yang jelas dan sahih, iaitu dalil yang menjelaskan kebenaran dan menghilangkan keraguan. Adapun mau’izoh hasanah pula, bahawa engkau secara tidak bersembunyi menasihati mereka dan engkau menyampaikan apa yang memberi manfaat kepada mereka. Dan boleh dianggap (bahawa mau’izoh ini) adalah bermaksud : Al-Quran; iaitu serulah mereka dengan kitab Al-Quran yang mengandungi hikmah dan mauizoh hasanah.)(7)

Perbezaan ini jelas apabila kita meneliti pendapat Imam Al-Baidhawi, cara dakwah yang ( pertama iaitu hikmah adalah untuk golongan khusus dari umat pelajar dan pencari kebenaran, adapun cara yang kedua, iaitu mauizoh adalah untuk menyeru masyarakat umumnya.)(4)

Doktor Muhammad Syed Al-Tantawi menyatakan ( firman Allah Ta’ala : walmau’izotul hasanah adalah wasilah kedua dalam berdakwah kepada Allah.)(8)

Setelah meneliti segala pendapat ini dapatlah disimpulkan bahawa wasilah atau jalan dakwah terbahagi kepada tiga; secara hikmah, peringatan yang baik dan berdebat dengan cara yang baik. Perbezaan ini menjelaskan bahawa adakalanya manusia tidak dapat menerima suatu usaha dakwah secara hikmah dan semata-mata, tetapi perlu dan berhajatkan kepada peringatan yang baik atau berdebat dengan cara yang baik.

Perbezaan ini juga menjelaskan peringkat akal mad’u, dan peringkat kepercayaan mereka. Imam Fakhrur Razi menyatakan dalam kitabnya At-Tafsir Al-Kabir bahawa ( ahli ilmu itu tiga golongan. Pertama Cendekiawan pencari kebenaran yang sebenar dan ilmu-ilmu yang diyakini. Berinteraksi bersama mereka tidak akan terlaksana melainkan dengan dalil qat’ie yang diyakini iaitu : hikmah. Adapun golongan kedua, orang yang mana tabiat mereka dikuasai sikap huru hara, suka bergaduh dan bermusuh-musuh, interaksi dengan ilmu pengetahuan adalah tidak berguna. Interaksi yang sesuai bersama mereka adalah dengan perjidalan @ perdebatan yang boleh mendiamkan mereka secara hujahan dan boleh memaksa mereka menerima dengan keras.)

Beliau menyambung dengan golongan ketiga iaitu ( satu kaum yang masih kekal dalam fitrah yang asli dan akhlak yang baik, mereka tidak sampai ke tahap mampu memahami dalil-dalil yang diyakini dan ilmu pengetahuan secara hikmah. Interaksi bersama mereka tidak terjadi melainkan dengan memberi peringatan yang baik.)(9)

Sebagai satu taujihat, sama-sama renungi kalam dari Said Qutub yang mengakhiri artikel ini. Moga satu pengajaran dapat diambil dan dimanfaatkan.

( Sesungguhnya dakwah itu adalah dakwah ke jalan Allah. Bukan untuk orang tertentu, dan bukan untuk kaum tertentu. Tidak ada tugas bagi seorang pendakwah dalam dakwahnya melainkan dia menunaikan kewajipannya kepada Allah, tiada kelebihan @ ganjaran baginya untuk dicari, tidak ada atas nama dakwah, dan tidak ada atas orang yang dipandu. Pahalanya adalah kepada Allah.

( Dakwah adalah dengan hikmah, dengan memerhatikan keadaan mad’u dan suasana mereka, juga menjelaskan kadar yang perlu bagi mereka pada setiap kali (dakwah dibuat) sehingga tidak memberati mereka, dan tidak membebankan dengan taklifan @ tanggungjawab sebelum jiwa mereka bersedia menerimanya. Perhatikan cara berhubungan dengan mereka, dan mempelbagaikan cara ini berdasarkan perlaksanaan yang sesuai. )

1. Tafsiran Al-Quran Al-Karim – Prof. Dr Mahmud Yunus
2. Tafsir Al-Quran Al-A’zim – Tafsir karangan Ibn Kathir.
3. Sofwatu Al-Tafasir – karangan Professor Mohd Ali As-Sobuni.
4. At-Tafsir Al-Munir Fi Al-Aqidah wa As-Syariah wa Al-Manhaj – karangan Professor Wahabah Az-Zuhaili
5. Tafsir Al-Qasimi – Imam Muhammad Jamaluddin Al-Qasimi
6. Tafsir Al-Jalalain – karangan Imam Al-Mahalli dan Imam As-Sayuti.
7. Tafsir Al-Kassyaf – karangan Imam Az-Zamakhsyari.
8. Al-Tafsir Al-Wasit – karangan Dr. Mohd Syaid Al-Tantawi.
9. Al-Tafsir Al-kabir – karangan Imam Fakhrul Razi
10.Fi Zilal Al-Quran – karangan Said Qutub

No comments: