Majalah : SUKEJ
Edisi : 107
Kolum : Kritikan Sastera
Jenis : Artikel
Terbitan : 2005
Oleh : Mohd Zaki M.Noor
Ulasan Cerpen Adi
Oleh Sidang Editorial
Ruangan Khas untuk peminat sastera bukan baru dalam SUKEJ. Zaman Zaid Akhtar menulis untuk SUKEJ adalah antara zaman keemasan bagi penggiat sastera bumi anbia’ ini. Kini ia menemui anda sekali lagi.
Karya yang bakal diulas adalah sebuah cerpen karya al_jantanie (cerpen yang terbit dalam keluaran 106) dengan bertajuk “Adi”. Cerpen ini hanya menggunakan dua watak iaitu Adi dan ayahnya, digarap dengan latar belakang persekitaran kampung yang cuba digambarkan sebagai damai dan tenteram. Pengarang masih mengekalkan unsur semulajadi dan persekitaran. Ia juga merakamkan kesusahan masyarakat kampung masa dahulu dalam perenggan-perenggan pertama penceritaan.
Apa yang menarik adalah gaya bahasa. Pengarang gemar menggunakan ayat yang pendek dengan laras bahasa kepada seorang kanak-kanak. Ternyata gaya bahasa yang berbentuk pemujukan ini menepati logik pertuturan di antara seorang ayah dan anak yang masih kecil. Ia tidak berat, dan tiada kalimah yang sukar difahami.
Namun perhatikan ilmu bantu yang cuba diselitkan. Pertama adalah nama ubat. Pengarang hanya menyebutkan warna ubat, dan tidak menyatakan namanya dan kegunaannya. Sekiranya nama ubat dapat dinyatakan, ia akan memberikan kesan yang lebih kepada pembaca. Barangkali pengarang tidak tahu, atau mahu mempamerkan situasi masyarakat kampung yang masih janggal dengan nama ubatan moden.
Kedua, sedikit tidak logik apabila pengarang menyatakan jumlah upah yang diterima oleh ‘ayah’ iaitu hanya RM 50 sebulan. Ia sama ada jumlah upah itu adalah sangat tidak berpatutan (kerana Tok Penghulu seorang yang baik hati) atau zaman peristiwa ini berlaku adalah satu zaman yang jauh dari zaman kita. Barangkali juga pengarang meletakkan nilai RM 50 demi memadankan dengan bayaran ubat RM 48, sekaligus menghabiskan jumlah duit simpanan bulan sebelumnya.
Pengarang cuba membawa latar masa seminggu dari awal penceritaan (Seminggu yang lepas atap rumah kita bocor). Cerita berjalan dengan sangat mudah secara aturan peristiwa yang berlaku dari seminggu yang lepas hingga ke hari ini. (Demam ayah berlanjutan hingga ke hari ini) Ia adalah kronologi yang tersusun dalam satu imbas balik yang mudah difahami.
Nampaknya pengarang cuba mengelak daripada penggunaan ganti nama diri pertama dan kedua, dengan menggunakan lafaz ‘ayah’ dan ‘Adi’. Penggunaan nama memberi kesan penegasan dalam penceritaan apabila kedua-dua nama ini diulang sebut. Ia juga memberi kebebasan kepada pengarang untuk memilih sama ada mahu lebih kepada cenderung kepada Adi mahupun ayah sepanjang penceritaan. Nampaknya, pengarang memilih ayah seperti mana yang berlaku.
Sekiranya diperhatikan, cerpen ini agak pendek daripada cerpen-cerpen yang disiarkan sebelum ini. Barangkali sekitar tiga muka word sahaja. Panjang sebuah cerpen bukanlah suatu yang mesti dibincangkan, dibahaskan atau ditolak, kerana cerpen mempunyai tiga jenis. Pertama cerpendek, iatu cerpen pendek. Kedua cerpen, iaitu cerpen yang sederhana, dan ketiga adalah cerjang, iaitu cerpen panjang.
Anda bebas menulis panjang cerpen, namun cerpen yang panjang (cerjang) atau cerpen yang pendek (cerpendek) sukar mendapat tempat di media kerana terlalu panjang dan terlalu pendek. Lazimi penulisan sekitar 4 hingga 5 muka word dengan single space, barangkali akan menjadi 8 hingga 9 muka word dengan double space. Gunakan font biasa dengan saiz 12.
Perhatikan juga plot ceritanya. Pengarang dilihat memahami dengan baik plot cerita dalam cerpen dengan tidak meletakkan terlalu banyak plot. Satu plot lebih baik. Cerpen adalah penulisan dengan latar masa dan latar tempat yang sangat terhad, maka latar masa yang terlalu panjang adalah bersalahan dengan cerpen. Bermakna, latar masa dalam satu plot perlulah pendek, atau dipendekkan.
Sekiranya anda prihatin, di manakah sebenarnya latar tempat dan latar masa? Latar masa adalah hari ini, dan cerita-cerita sebelumnya adalah imbas balik. Latar tempat adalah rumah tempat orang kampung berkumpul, di sebelah jenazah ayah.
Sedikit kekeliruan timbul, apabila pengarang menceritakan hal ayah. Ayah kelihatan seperti seorang yang koma, tidak sedar diri tetapi rohnya masih mampu menyaksi. Tetapi pengarang mengungkapkan ayah sebagai seorang yang telah meninggal dunia, tetapi janggalnya apabila seorang yang telah mati tidak mengetahui bahawa dia telah mati. Malah dia masih tertanya-tanya apa yang sedang berlaku.
Umum mengetahui bahawa kematian sangat menyakitkan, bagaimana si mati tidak mengetahui kematiannya sedangkan dia merasai sakitnya? Ia perlu dibincangkan semula, kerana gambaran ini semacam tidak menepati keadaan yang sebenar. Ataupun, Timah janda dan semua orang kampung tersalah tafsir, bahawa ayah Adi cuma koma, dan bukannya meninggal dunia.
Namun, tidak dinafikan nasihat-nasihat yang baik cuba disampaikan oleh pengarang melalui cerita ini. Di antaranya menyebut kekuasaan Tuhan dalam urusan hidup mati, tawakkal, berusaha dengan seberapa upaya, membalas jasa dengan jasa, kasih sayang tiada terhingga seorang ayah dan tidak menyusahkan orang lain.
Pengarang juga cuba sedaya upaya memberikan gambaran berkenaan hujan yang lebat, kekayaan Tok Penghulu, bersin Adi yang dahsyat, sakit kepala ayah yang teruk, kasih seorang ayah, pergantungan kepada Tuhan dan kemiskinan warga kampung.
Tempo penceritaan juga tidak terlalu laju dan tidak terlalu perlahan, malah ia dapat berjalan dengan lancar, kecuali kelihatan sedikit terhenti di perenggan “Adi, ayah Cuma bekerja memetik buah kelapa.” Ia seakan terhenti daripada cerita sebelumnya yang mengisahkan kesan hujan terhadap sakit Adi.
Adi adalah sebuah cerpen bertitik tolak daripada penggunaan kesan dan akibat. Lihat kesan kemiskinan kepada keluarga Adi sehingga ayah dan begitu ramai penduduk kampung bekerja dengan Tok Penghulu. Lebih jelas lagi, kesan hujan kepada sakit Adi, kemudian demam berpindah kepada ayah sebelum ayah jatuh dari pokok akibat demam yang ditanggungnya. Memilih ayah dengan kerja pemetik kelapa dilihat berpadanan dengan sebab jatuh dari pokok akibat habuk kelapa yang menerjah mata.
Istimewa juga, hampir tiada dialog yang digunakan sepanjang penceritaan, kecuali di penghujung cerita. Apapun tahniah untuk Adi dan pengarang!
No comments:
Post a Comment