Majalah : SUKEJ
Edisi : 108
Kolum : Kalam Editor
Jenis : Artikel
Terbitan : 2005
Oleh : Mohd Zaki M.Noor
Kritikan Sastera
Oleh Sidang Editorial
Cerpen 'Nadien, Amal Hayati' karya Noorshibaaiyah Sharipudin menggarap persoalan kafaah dalam Islam. Penulis sebenarnya mahu menceritakan kisah seorang pemuda Islam yang dipujuk oleh seorang perempuan ahli kitab untuk mengahwininya.
Cerita berjalan dengan sebahagian besar cerita ditulis secara imbas balik, sebelum latar 'hari ini' berada di bahagian akhir cerpen. (Aku punya enam hari lagi untuk mengumpul hujah), muka surat 31. (Tiga hari lalu, usai pengajian di kuliah, aku terus melejit ke warung siber.), muka surat 31. (Hari ini hanya ada satu kelas sahaja di kuliah), muka surat 33.
Maka kita boleh untuk mengatakan; latar masa adalah hari ini (muka surat 33) dan latar tempat pula adalah makmal (muka surat 33), kemudian bergerak rumah gadis (muka surat 34). Latar-latar tempat yang mendominasi cerpen di awal penceritaan adalah imbas balik.
Cerita dipersembahkan dengan tempo yang sederhana, tidak terlalu laju mahupun pantas. Tempo menjadi perlahan apabila penulis meletakkan ilmu bantu yang kurang sebati dengan penceritaan. Penulis memasukkan ilmu bantu mengenai Syabab Tayyar, (muka surat 30) sesuatu yang bukan bersifat membantu persoalan kafaah, tetapi lebih kepada menjelaskan latar dan suasana.
Begitu juga apabila penulis menceritakan perjalanan pulang ke rumah menaiki van (muka surat 32) dan suasana alam sekitar, ia sememangnya ilmu bantu tetapi bukan menyokong tema kafaah yang hendak dibawa. Sebaliknya hanya menjelaskan latar dan suasana. Menjelaskan latar dan suasana tidak salah, tetapi harus dilakukan secara ekonomik, supaya tidak berlaku pembaziran kata. Ini perlu dilakukan kerana ekonomik adalah satu keistimewaan yang patut ada dalam cerpen.
Apa yang boleh dibanggakan adalah temanya. Tema yang berat ini adalah tema agama. Ia persoalan mengenai kafaah dalam Islam. Ia persoalan mengenai; adakah seorang lelaki Islam boleh mengahwini seorang perempuan ahli kitab zaman ini? Sekiranya boleh, apakah pula syarat-syaratnya?
Cerpen ini juga sangat istimewa kerana cerita dimulakan tanpa tangguh, tanpa mukaddimah yang panjang dan meleret-leret. Ayat pertama sudah membawa pembaca meneroka situasi seorang lelaki yang sedang dalam dilema, adakah dia patut menerima pujukan seorang wanita ahli kitab untuk menikahinya?
Malangnya, penceritaan menjadi kabur dan di sinilah kesilapan terbesar penulis. Ketika mahu membawa tema kafaah yang besar dan berat, penulis tidak menyatakan tema ini bahkan menyembunyikannya sejak awal penceritaan lagi, menyebabkan pembaca kebingungan. Tema hanya dijelaskan setelah cerita berlangsung separuh penceritaan. Keadaan tambah buruk apabila ilmu-ilmu bantu yang tidak menyokong cerita diletakkan di antara keduanya. Ketika pembaca belum betul dapat menangkap ia adalah tema kafaah, penulis meletakkan ilmu bantu mengenai Syabab Tayyar dan Sami Yusuf. Perhatian pembaca semakin lari jauh dari tema kafaah.
Cerita yang bermula dengan perdebatan ini terang-terang menyembunyikan tema kafaah di awal penceritaan. (Bukankah Islam mengizinkannya Akram?) Akan mercup dalam pemikiran pembaca; apakah perkara yang Islam izinkan? (Saya mohon dipertimbangkan, Akram) Apakah perkara yang diminta untuk dipertimbangkan? Penulis tidak menjelaskan tema sebaliknya melompat kepada cerita 'tepi', Syabab Tayyar, poster Sami Yusuf, hiburan yang merosakkan...
Perhatikan pula perenggan yang bermula dengan (Aku punya enam hari lagi untuk mengumpul hujah buat bekalan pertemuan kedua) (mukasurat 31) Pertemuan itu adalah lanjutan pertemuan pertama, bukan? Dan pertemuan itu juga untuk melangsungkan perdebatan juga? Tetapi, mengenai apa? Tema belum dijelaskan sejak awal penceritaan. Yang ada hanyalah gambaran yang belum jelas.
Perhatikan pula apabila watak meminta bantuan Abang Faruq, tetapi atas tujuan apa? Ia ada menyebut mengenai kitab ‘Ahwal Syahsiah’, tetapi mengenai tajuk apa?
Bahkan jika penulis sedar, watak ‘aku’ juga kurang jelas identitinya. Perhatikan rangkap-rangkap pertama penceritaan, dan lihat adakah ‘aku’ seorang lelaki atau perempuan? Tidak jelas, bukan? Hampir-hampir pembaca sendiri pening dengan jantina aku, kerana boleh sahaja aku itu lelaki, dan barangkali juga seorang perempuan. Perlu diketahui, pembaca majhul segalanya, dan penulis perlu melukis watak dengan jelas, dan jangan memeningkan pembaca yang tidak tahu apa-apa.
Apa yang boleh dilakukan adalah menjelaskan watak utama sejak mula, dan angkat tema atau beri pembayang yang menjelas sejak awal penceritaan. Elakkan juga meletakkan sebarang ilmu bantu yang tiada kaitan hingga menyebabkan tumpuan pembaca beralih daripada tema kepada sesuatu yang lain. Binalah tema yang jelas. Ia memang suatu gagasan yang baik apabila bermatlamat menyampaikan ilmu, tetapi kekaburan bikin ia menempuh jalan sukar sebelum dapat sampai terus ke akal pembaca. Apapun, tahniah!
No comments:
Post a Comment