Tuesday, September 13, 2005

Halangan Terbesar Penulis Mesir

Halangan Terbesar Penulis Mesir.

Saya menulis di komputer kawan kali ini.

Sewaktu saya bertanya kepada diri akan sebab pertama, dan dugaan pertama, bahkan pandangan serong yang pertama saya terima mengenai penulisan (dalam bahasa Melayu) (barangkali saya sendiri memberikan pandangan serong seperti itu) adalah; mengapa menulis dalam Bahasa Melayu dan bukan Bahasa Arab?

(Penulisan Bahasa Melayu dalam artikel, cerpen, dan berita adalah bentuk-bentuk penulisan Bahasa Melayu yang pernah saya ceburi di sini.)

Tentu sekali, apabila saya kerap bertanya kepada diri berkenaan soalan ini (apatah lagi saya mahasiswa Lughah Arabiah; kenapa hendak membuang masa menulis dalam Bahasa Melayu? Kalau macam ini bagaimana Bahasa Arab hendak maju?) saya rasa lemah dan kekurangan sebab. Tetapi saya tulis juga, dengan alasan membantu dan mencari ilmu.

Cuba anda bayangkan. Seorang yang bergelar mahasiswa 'Bahasa Arab' terlalu kerap menulis dalam Bahasa Melayu. Apa pandangan pertama yang akan anda berikan padanya?

Inilah halangan terbesar bagi saya, bahkan bagi semua mahasiswa Mesir apabila mahu menulis sesuatu dalam Bahasa Melayu. Lebih-lebih lagi apabila ada antara kami ditohmah tidak mahir berbahasa Arab (padahal kelemahan patut dinilai dari segala sudut dan bukan terhad satu jihat tertentu) , itu semua membikin resah mahu menulis sesuatu dalam bahasa ibunda.

Saya boleh kata, bahawa kesedaran menulis datang dari diri, tetapi apabila diri sendiri mempersoal kewajaran 'menulis dalam Bahasa Melayu' ramai penulis tarik diri. Kerana itu penulis dari bidang agama berkurangan? Menulis dalam Bahasa Melayu boleh 'melemahkan Bahasa Arab?'

Tetapi saya menulis juga. Tetapi kali ini, setelah setahun (lebih sedikit) saya temui sesuatu yang patut saya kongsikan dengan anda semua.

Menulis dalam bahasa ibunda tidak melemahkan Bahasa Arab bahkan semakin menguatkan penguasaan itu SEKIRANYA anda memahami konsep penghujahan dalam artikel, dan SEKIRANYA anda memahami konsep ilmu bantu dalam cerpen. Penghujahan dalam artikel berkehendakkan anda mendatangkan hujah, dan hujah (kalau bagi seorang mahasiswa di Mesir) adalah didapati daripada kitab-kitab ARAB! Bahkan ilmu bantu dalam cerpen (perlukah saya ulang sekali lagi?) juga daripada kitab Bahasa ARAB!

Jadi, mengapa harus berundur dari penulisan berbahasa ibunda, sedangkan kitalah jambatan pemindah ilmu antara dua bahasa!

al_jantanie
manhumi_ilm

3 comments:

Syarifah Salha Syed Ahmad said...

Zaki memang benar menulis dlm bahasa ibunda tidak melemahkan Bahasa Arab. Bahasa arab itu ada sasteranya, ada fannun juga ada naqad. Gabung jalin dua bahasa bersama ilmu yg ada didalamnya akn menjadikan bahasa tersusun rapi mengalir bak sungai yang deras dan lancar. Bukankah kita berperanan memindahkan ilmu didlm kitab2 turas ke dalam penulisan? Di situ kewajaran menjadikan kita jambatan yg memindahkan dua bahasa.

MZP said...

terima kasih salha. Saya bangga menerima pandangan anda

Nisah Haji Haron said...

Apabila penulis itu pemikir, penulis juga ada amanah kepada bangsanya. Tidak semua orang mampu berbahasa Arab. Jadi anta sebagai orang yang diberi kekuatan itu punya fardhu kifayah untuk menyampaikannya kepada orang lain. Jadi permudahkanlah, supaya dapat dinikmati oleh orang lain yang tidak mempunyai kelebihan tersebut.

Anta jadi jambatannya.

ikhlas,
nisah haron