Blog adalah sebuah diari yang besar. Untuk mencari sejarah yang dilupa, rasa yang dikambus, hala yang diukir. Untuk mengimbau setelah menyimpan, untuk muhasabah setelah memadam
Friday, September 30, 2005
Srengenge
Saya baru mengkhatamkan 'Srengenge' (Saya tidak tahu dari mana S.N Shahnon Ahmad dapatkan nama ini hingga saya tidak tahu bagaimana mahu menyebutnya, akhirnya saya baca Senggereng)
Biar kita lihat bagaimana generasi baru menilai Srengenge.
Srengenge dicipta dengan kekuatan ilmu bantu berkenaan hutan dan rimbanya, pokok dan tumbuhannya, tanah dan tanihnya, binatang dan haiwannya, bahkan disertakan gambaran dan suasana yang sangat jelas dan mempersona. Barangkali semua jelas dengan kekuatan bahasa S.N ini, penggunaan ayat berulang (tetapi isi yang masih bebeza) menjelaskan kekuatan bahasa paling tidak, memberikan gambaran dengan seratus kalimah. Kalau tidak memiliki kosa kata yang padu apa lagi?
Srengenge dilakarkan juga dengan mempersembahkan ilmu bantu yang sangat kuat mengenai adat orang-orang dulu serta pergaulan mereka, cara hidup mereka, cara berfikir, cara bertindak, cara berinteraksi; apa yang lebih jelas lagi memaparkan corak kehidupan warga kampung. Tetapi, yang mengkagumkan bagi saya, ada cara S.N sendiri berfikir. Atau juga boleh disebut, pengetahuan yang beliau miliki.
Daripada meracik tekukur, menepuk pelanduk, menggetah puling, menjebak landak, hinggalah kepada teknik-teknik khas yang diperlukan semasa semua kemahiran itu dilaksana. Tidak masuk lagi menutuh Srengenge, menebang, membakar, memerun, menajuk…Ah! Anda patut baca kemudian kira berapa banyak yang anda belum tahu.
Tetapi, apabila S.N mula memasukkan falsafah kehidupan, bahawa hidup itu adalah kerja, saya benar-benar kagum. Hidup itu bererti kerja, kata beliau. Walaupun sinopsis cerita ini barangkali pendek( Awang Cik Teh mahu tutuh Srengenge, Imam Hamad bersetuju akhirnya setelah kematian denak, Imam Hamad jatuh sakit, panggil Useng berubat, menjamu, dan akhirnya Imam maninggal dunia), tetapi kejelasan dalam penceritaan bukanlah suatu yang calang-calang. Bahkan menjelaskan 'latar sebenar' suasana dan fe'el (fiil) manusia membuatkan kita akan terfikir sebentar – bahawa Imam Hamad adalah imam ketika di tikar sembahyang, tetapi apabila di hutan meracik tekukur beliau adalah juara tekukur. (menjernihkan kontra dengan kekuatan bahasa) Bahkan terdetik di hati saya, Awang Cik Teh lebih layak lagi jadi Imam. Barangkali kerana tua. Barangkali kerana orang tak suka.
Cerita yang berakhir dengan kematian Imam Hamad sebenarnya bermula dengan keinginan menutuh Srengenge. Dan, antara babak paling panjang adalah proses mengubati Imam Hamad yang dikatakan 'tertegur'. Juga proses berdukun dan 'menjamu'. Tetapi, jangan itu sahaja, pandang juga skop dan pemandangan orang-orang waktu itu bila berhadapan dengan situasi itu, kemudian tekuni masyarakat zaman sekarang. Carilah banding bezanya, dan anda akan lihat bahawa membaca karya-karya lama memang tidak pernah menjadi sia-sia.
al_jantanie
manhumi_ilm
Thursday, September 29, 2005
Salju Jabal Musa, Adunan Rencam Yang Pelbagai
Biarlah saya mengulas dengan lembut kali ini.
Saya meneliti secara perlahan setiap karya di dalam SJM dan mendapati, setiap pengarang memiliki identiti dan diri. Nimoiz T.Y misalnya (kerana saya membaca dari belakang) menggunakan kekuatan falsafah yang tinggi dalam karyanya. Saya jelaskan bahawa ia satu pembawaan yang tinggi, dan hampir-hampir tidak terbawakan oleh pembaca sederhana.
Barangkali saya mahasiswa Lughah bukan mahasiswa falsafah. Apa yang kelihatan, kekuatan bahasa sedikit sebanyak membantu menjelaskan ketinggian falsafah yang ingin dibawa. Nimoiz tampak tidak kompromi dengan merendahkan nilai falsafah yang dibawa. Baca dan saya yakin anda boleh merasainya.
Ida Munira punya kekuatan bahasa yang sangat kuat, apatah lagi apabila pembentukan ayat luar duga sering mengalihkan perhatian saya beberapa kali. Memiliki tajam bahasa puisi yang rencam dengan teknik menyebabkan ayat beliau sendiri tampak pelbagai. Kuat berkias juga dalam menjelaskan sesuatu, dan semacam terbawa-bawa menyerapkan kekuatan puisi ke dalam cerpen.
Ghafirah Idris bagi saya punya nilai tarikan perasaan yang lebih mengesankan. Dalam ketiga-tiga karya tersebut beliau suka menarik perasaan pembaca pada satu ton rasa, kemudian diselarasakannya dalam rentak yang sekata sepanjang penceritaan. Ya, menyebabkan perasaan pembaca dibawa dalam satu ritma yang tetap, kemudian permainan bahasa membawanya tanpa putus hingga ke penghujung cerita. Patut saya kata, tiga-tiga cerpennya punya kekuatan perasaan yang mengesankan.
Fahd Razy pula membawa karya dengan langgam yang pelbagai. Pembaca patut rasa senang dengan garapan yang mencambah, disesuaikan dengan tema. Beliau bagi saya memiliki kekuatan penceritaan babakan dan adakalanya menjelaskan suara dalaman (suara hati) yang mendominasi penceritaan. Karyanya segar dibaca lewat SJM ini, memaparkan sudut pandang yang sengaja dilukis berbeza dari sudut pandang biasa, sekaligus menghasilkan kesan pemahaman dari pihak kedua. Saya patut kata, ketiga-tiga karyanya punya kelainan dalam pembawaan, menyebabkan minda sama bangkit berkembang dan bercabang.
Amiza Khusyri, tokoh yang saya kenal benar lantaran acap jumpa membawa tiga karya yang sudah saya lumati sebelum SJM lagi. Namun, dalam pembacaan ulangan sekalipun akan memberikan kesan yang berlainan kepada saya. Barangkali, adunan semua unsur memadat dalam satu karya, dan boleh dikesani lewat pembacaan. Pengarang memiliki kekuatan bahasa yang segar dan bertenaga, meletakkan ilmu bantu secara beransur-ansur. Pengarang memiliki kekuatan babakan dan langgam yang sesekali turun naik di samping bahasa. Patut saya kata, cerita memiliki nilai tinggi rendah dalam plot, lurah dan puncak dalam konflik dan peleraian, bahkan memahami konsep ilmu bantu dan kesudahan.
SJM, satu hasil kesungguhan. Itu lebih tepat.
al_jantanie
manhumi_ilm
Wednesday, September 28, 2005
Aku Memang Marah
Aku memang marah dengar orang mengaku lemah. Mengaku tidak mampu. Belum apa-apa sudah mengaku kalah. Belum sampai mana-mana sudah mundur. Aku memang geram, dan serasa mahu kutonyoh-tonyoh sahaja kepala yang mengandung fikiran yang semacam itu.
Aku memang tidak boleh tahan dengar orang yang asyik mengalah. Tidak mampu kononnya. Tidak boleh kononnya. Padahal belum apa-apa. Ada yang baru sekali mencuba, baru sekali turun padang, baru sekali rasa susah, baru sekali sesak nafas, baru sekali semput tercungap, baru sekali cuba, baru sekali tersadung, semuanya baru sekali sudah putus asa. Padahal belum sampai ke mana-mana.
Baru sekali belum sampai ke mana-mana.
Aku memang radang kalau orang yang tidak mahu mencuba, terus sahaja lari dan berkata tidak mungkin. Atau yang baru mencuba sekali tiba-tiba disergah, digugah, dikekah, diagah, dikerah; baru sekali dan rasa mahu lari tidak mahu buat lagi. Alahai! Sekali itu banyak mana?
Tapi sebenarnya yang aku marah sangat-sangat, berang amat-amat, radang terlalu bangat, bila teringat bukan kerana apa tetapi sikap malas berusaha dan malas berlelah. Malas bukan kerana tiada bakat, malas bukan kerana tiada guru, malas bukan kerana apa tetapi kerana malas itu sendiri. Padahal kalau dipaksa diri, kalau bukan sekali seribu kali, akan ada hasil juga. Tetapi malas yang bertongkol-tongkol kerjanya asyik mahu rehat. Bila disuruh mahu lari. Bila disergah mahu rajuk. Bila dimarah mahu putus asa. Bila ditegur mahu berhenti.
Ikutlah sesuka hati. Mahu lari, larilah. Mahu rajuk, rajuklah. Mahu putus-asa, mahu berhenti, mahu rehat, mahu apa-apapun, buatlah sesuka hati. Kelak, bila aku sudah tidak ada, barangkali engkau boleh rasa senang hati.
al_jantanie
manhumi_ilm
Mencari Jaguh Si Ayam Jantan
Kita mahukan jaguh si ayam jantan. Yang apabila berkokok membingitkan telinga Si Mati Subuh. Yang kokokannya membangunkan matahari dari selimut gunung. Yang berkokok, apabila alam disapa jaga.
Tetapi ayam jantan yang semacam ini sangat kurang di sini. Ayam-ayam jantan semuanya mahu tidur memanaskan badan di dalam reban, atau bersembunyi di belakang rumah dan apabila matahari sudah cukup garang menghalau embun dari dada daun, barulah dia keluar. Ayam jantan yang tidak cukup garang.
Kita bukan mahukan ayam jantan yang seekor. Kita mahukan lebih dari satu. Kita mahukan ayam-ayam jantan yang tidak segan berkokok dengan nyaring dan bersaksikan alam; kokokan itu kokokan yang menyedarkan.
Ayam-ayam jantan tidak boleh tidak. Kokokan ayam betina tidak kuat macam ayam jantan. Kokokan ayam jantan yang jaguh tidak boleh tidak, mesti memateri gah ke alam, ke dunia, ke sekitar, apabila kokokan itu kokokan yang menyedarkan.
Kerana itu perlu pada kejaguhan. Jaguh-jaguh ayam jantan yang bila ayam-ayam betina memandang rasa yakin.Dengar kokokan rasa yakin. Lihat jaguh rasa yakin. Terasa gema kokokannya rasa yakin. Jaguh si ayam jantan yang membina mandiri di setiap urat dan nadi.
Jaguh si ayam jantan, perlu mara ke hadapan dan tonjolkan diri.
al_jantanie
manhumi_ilm
Tuesday, September 27, 2005
Debur Ombak Montaza 3
Aku belajar kesetiaan dari ombak,
tidak jemu memukul pantai.
Kata orang tua-tua:
Kalau takut dilambung ombak,
Jangan berumah di tepi pantai
Kata Al-Quran:
Apabila mereka dikepungi ombak yang (menghadangi cahaya) seperti bayang-bayang, mereka berdoa (menyeru) kepada Allah dengan seikhlas-ikhlasnya…(Surah Luqman : 32)
Kata hadis:
Diceritakan kepada kami oleh Umar bin Hafs bin ghiath, diceritakan kepada kami Al-Aqmash, diceritakan kepada kami oleh syaqiq, aku mendengar Huzaifah berkata : sedang kami duduk di sisi Umar, dia berkata : Siapa di antara kamu yang menghafaz kata-kata Nabi s.a.w tentang fitnah? Maka (Huzaifah)berkata : Fitnah seseorang pada keluarganya, hartanya, anak-anaknya, jirannya dihapuskan dengan solat dan sedekah, dan menyuruh kepada kebaikan dan menegah dari kemungkaran. Berkata (Umar) : bukan ini yang aku tanyakan kepada kamu, tetapi (aku bertanya) tentang (fitnah) yang bergelora seperti ombak laut. Maka berkata (Huzaifah): tiada masalah wahai amirul mukminin. Sesungguhnya di antara engkau dan (fitnah) itu ada satu pintu yang tertutup. Berkata Umar : Adakah pintu itu dipecahkan atau dibuka? (Huzaifah) berkata : Bahkan dipecahkan. Berkata Umar : Maka, ia tidak akan ditutup selam-lamanya. Aku berkata : Ya. Kami berkata kepada Huzaifah : Adakah Umar mengetahui (siapa) pintu itu? Maka kata (huzaifah): Ya, seperti mana dia mengetahui sesungguhnya pada malam ini sudah tidak ada esok. Itu sesungguhnya aku menceritakan kepadanya satu cerita yang bukan untuk mencari salah. Maka kami ingin bertanya kepadanya siapakah pintu (yang dimaksudkan) maka kami menyuruh Masruq, maka dia bertanya kepada (huzaifah): siapakah pintu itu? Berkata (huzaifah) : Umar
(Hadis 6567, sohih bukhari, kitab Fitan)
(Saya meyakini terjemahan saya, cuma anda sebagai ihtiat perlu semak semula dan tanya pada yang lebih tahu)
Musnahkan ideologi dan sikap 'Kebergantungan Pada Satu Orang'
Sengaja saya pilih tajuk yang sebegitu. Saya mahu anda membuka mata dengan akal yang celik dan hati yang jaga. Hapuskan ideologi dan sikap (baca:sikap sahaja) kebergantungan pada satu orang.
Anda sudah besar. Anda sudah patut memiliki diri. Kenapa asyik merasa ingin bergantung pada satu orang? Asyik mahu berada di bawah dan menanti orang menarik anda, membawa anda, menyorong anda, mendorong anda. Anda sudah miliki jiwa tetapi anda memperkecilkannya.
Miliki jiwa yang besar! Dari sekarang bina langkah baru kerana anda bukan si kecil yang baru bertatih. Anda patut sudah mula membesarkan langkah dan mara tanpa takut-takut lagi.
Saya tahu pengalaman anda cetek tetapi dari sekarang perdalamkan! Kalau anda tidak menggali pengalaman dengan usaha sendiri dan berteguh bagaimana pengalaman akan luas dan dalam? Bila anda sedar semua itu, anda akan yakin dan pasti, pergantungan pada orang menemui titik tamatnya.
Oh, tolonglah! Anda patut lupakan orang lain dan renung diri sendiri. Kemudian sebut dalam hati, anda mahu membina diri. Hilangkan sikap kebergantungan kerana sudah tiba masanya anda berdikari. Ya, berdikari. Proses pembinaan jati diri sudah patut dimulakan sekarang. Dengan jatidiri barulah anda yakin boleh membebaskan kebergantungan dengan orang lain.
Siapa kata ia tidak penat? Saat anda bergantung pada orang lain, kepenatan sudah lama wujud, tetapi anda tidak menanggung biasnya. Anda sembunyi. Anda terelak dari semua itu. Tetapi demi menghapuskan sikap dan ideologi ini anda perlu menjadikan diri anda orang pertama menanggungnya. Kepenatan dan memiliki diri, harga yang tidak berugian memiliki.
Apatah lagi sikap kebergantungan pada satu orang! Ia musuh jamaah. Perkumpulan yang dipasakkan padanya akan hancur bila satu orang menjadi kosong. Hancurkan ideologi dan sikap 'satu orang' ini dari minda. Sisihkan jauh-jauh. Dari sekarang, wujudkan seribu orang. Ia asas penting yang tidak boleh diabaikan. Semacam menjadikan ia sukar tetapi demi kemaslahatan jangka panjang, sedarlah bahawa satu orang, sampai bila-bila tidak akan memadai.
Anda patut mula membenarkan prinsip 'pergantungan dengan satu jamaah'. Tidak hanya satu orang. Dengan itu, anda tidak akan rasa senang kalau ia dimahiri oleh satu orang, kerana itu bukan pembentukan pelapis. Itu penghancuran pelapis. Itu salah, dan saya mahu anda betulkan itu dari kepala otak anda.
Binalah kepercayaan kepada diri, dan hancurkan prinsip kebergantungan ini. Anda patut memulakan dengan diri sendiri, dan bina diri. Anda boleh, saya yakin amat-amat.
Doa
Ya Allah,
Sesungguhnya kami jadikan (letakkan) Engkau di leher-leher musuh-musuh-Mu (yang juga merupakan) musuh-musuh kami (yang adalah) musuh-musuh agama, dan kami berlindung dengan-Mu daripada kejahatan mereka.
Ya Allah,
Cerai-beraikanlah persatuan mereka, pecah-belahkanlah kumpulan mereka, pecah-belahkanlah kalimah (pendapat) mereka, dan goncangkanlah kaki-kaki mereka, dan kuasai ke atas mereka seekor anjing daripada anjing-anjing-Mu, Wahai Tuhan yang bersifat Keras, Yang bersifat Pemaksa, Yang bersifat Membalas.
Ya Allah yang menurunkan kitab, dan yang menggerakkan awan, dan yang menewaskan ahzab (kumpulan-kumpulan), kalahkan mereka dan menangkanlah kami ke atas mereka.
Ya Allah tolonglah agama Islam dan muliakanlah orang muslimin, dan hancurkan syirik dan musyrikin, dan letupkan musuh-musuh-Mu (yang merupakan) musuh-musuh agama. Dan tolonglah kami wahai Tuhan sekelian alam.
al_jantanie
manhumi_ilm
Monday, September 26, 2005
Debur Ombak Montaza 2
Harga tadabbur dari debur ombak Montaza mahal kalau dengan telinga. Enam Junaih. Empat untuk payung bulat dan dua untuk kerusi. Kalau tadabbur dengan mata percuma sahaja, sebab anda akan meneliti jauh dari gigi pantai. (hendak santai di tepi pantai kena bayar la.) Ombak langsung tidak akan kedengaran kerana jalanraya di belakang anda akan membingitkan hon dan deru geraknya. Jadi, saya tadabbur dengan mata sahaja. (Kalau mandi percuma. Tetapi saya mahu tadabbur sahaja.)
Setengah jam tadabur saya sudah didera bosan. Serasa mahu pulang dari duduk santai dan tidak buat apa-apa. Saya cuba tahan diri dari balik dengan SJM, membaca karya Ida Munira. Habis dua cerpen barangkali tiga, saya tidak boleh tahan. Saya mesti pulang sekarang juga.
Biarlah cicipan kali ini begini sahaja.
Nota Khulasoh Bukan Khotimah :
Enam junaih dan pantai masih kotor dengan sampah. Berapa junaih perlu bayar baru pantainya bersih?
al_jantanie
manhumi_ilm
Debur Ombak Montaza
Sangka mahu tadabbur dari debur ombak Montaza petang tadi. Mahu membilang keagungan Tuhan yang berulang-ulang di gigi pantainya. Mahu ‘mencicipi’ bayu yang sejuk ditawar bahang mentari asar. Mahu dan tidak tercapai, saya menukar jejak ke Rumah Johor, Iskandariah.
Dari rumah melewati kubri terus berjalan dengan hati yang bolak-balik. Bunga kertas dengan warna merah dan putih diganti patung singa batu barangkali tembaga bersilih mengganti pandangan mata. Saya ralit merenung pasaraya FatahaLlah, pasaraya borong yang menghadang panas sinaran matahari tersergam indah dihiasi landskap hijau rumput dan kerusi rehat.
Teduhan berakhir. Saya dijamah matahari sewaktu menuju ke pantai melepasi Hotel Sheraton, kemudian langkah menyusur jalan pesisiran pantai bengkang-bengkok, angin bertiup kencang menempelkan baju lebih kukuh ke badan. Saya membilang ‘kerusi tinggi’ di pantai, kemudian menganggar bilangan teduhan payung dan tembok juga memerhati pelancong juga warga tempatan yang asyik mandi-manda petang-petang panas buta.
Ah! Sekarang pun musim panas.
Mana Rumah Johor?
Tidak tersesat setelah sesat entah berapa kali, saya membelok ke selekoh yang tepat. Nah! Rumah Johor di depan mata.
Petang ini, dari tadabbur debur ombak ke taarruf pasar Ma’adini lebik akrab. Kenal isi kandungannya. Lorongnya. Harganya. Ah! Lokman yang taarruf, dan saya cuma perhatikan sahaja dia beli belah.
Beli ketam kegemaran isteri kata dia. Mengidam orang mengandung kata saya.
Tadabbur dari debur Montaza lain kali.
al_jantanie
manhumi_ilm
Sunday, September 25, 2005
Demi Udaramu, Asofirah
Saya salah turun. Saya sangka saya sudah tiba di pasar Ma’adini, Asofirah, jadi saya turun. Tetapi ini bukan pasar Ma’adini. Jadi, di mana pasar itu?
Tramco yang membawa saya tadi meluru ke depan setelah saya tergesa-gesa turun. Itulah padahnya kalau memandai-mandai. Falsafah orang Melayu. Itulah kuncinya kalau mahu segera pandai, sesat dahulu baru pakar jalan. Falsafah orang berilmu.
Saya sangka pasar tadi pasar Ma’adini, kerana itu barulah saya turun. Tetapi setelah berjalan hampir 300 meter dan Carnival yang sepatutnya berada di kanan jalan tidak kelihatan, saya hampir pasti saya turun awal.
Lokman ajar, selepas jumpa Carnival baru melintas landasan keretapi, dan kemudian, setelah beberapa selekoh, saya akan tiba di Rumah Johor. Tetapi, di mana Carnival?
Dalam perjalanan saya toleh kiri kanan, mencari muka yang boleh dipercayai untuk bertanya jalan. Saya bertanya pada dua orang demi memastikan yang benar-benar; saya sudah silap turun.
Pasar Ma’adini di depan sana, beritahu Ammu kedua.
Klinik Montazza di kanan saya. Saya jalan lagi. Kemudian ragu semula apabila bertemu kubri. Seingat saya, dalam perjalanan kali dahulu saya tidak pernah berjumpa kubri ini. Jadi, mahu naik ke atas kubri atau lalu di bawahnya sahaja?
Naik kubri!
Betul ke pasar Ma’adini di depan sana?
Nekad campur risau, saya naik kubri dan meneruskan perjalanan. Saya cari lagi orang buat penunjuk jalan. Jawapan Ammu itu positif. Saya tak silap! Pasar Ma’adini di depan sana!
Saya tiba di pasar Ma’adini, terus ke depan hingga sampai ke Carnival, melintas landasan keretapi dari situ dan....Eh! Arab tengah minum Syai dan hirup Syisha?
Layar ingatan kabur. Seingat saya, dulu Lokman bawa tak pernah lalu kedai ini!
Nekad berganda dua, risau berganda lima. Saya campurkan sahaja di setiap langkah kemudian mata pandang kiri kanan. Betulkah jalan yang saya lalui ini? Jadi...mana Rumah Johor?
Saya mencari petanda yang ditinggalkan Lokman. Cari Vodafone Fahd, masuk lorong itu dan Rumah Johor ada di depan mata.
Bertolak dari situ, saya melangkah mencari tanda yang Lokman pernah berikan. 100 meter, saya belum jumpa. 200 meter, risau berkata saya sesat lagi. 500 meter, saya nekad mahu bertanya.
Di sini banyak vodafone kan?
Ammu itu mengangguk dua kali.
Tetapi ada satu yang tulis, Vodafone fahd. Itu di depan lagi atau di belakang?
Ammu memegang dagu. Mukanya kerut seribu.
Di depan sana, kan?
Ammu angguk separuh.Ragu-ragu.
Saya nekad lagi. Saya rasa yakin vodafone Fahd ada di depan sana.
Untuk 100 meter berikutnya, keyakinan saya bercempera apabila terlihat kubri. Dahulu tak pernah nampak kubri. Ini kubri yang mana satu?
Dah sesat lagi!
Saya melorong ke jihat pantai. Menyusuri jalan pantai pula. Kalau jalan dalam tak jumpa, saya menyusur di laluan pantai pula. Cari penanda dari tepi pantai!
Saudi Arabia Airline...Saudi Arabia Airline...Ah! Itu dia!
Saya masuk lorong Saudi Arabia Airline, terus beberapa meter dan....Ai? Mana Rumah Johor?
Naik bingung campur letih, saya cari mahmul telefon Lokman.
Enta kat mana?
Ana di depan Housny. Rumah Johor kat mana?
Jauhnya! Enta dah terlajak tu. Patah balik.
Oh, ya ke?
Itulah sedikit dugaan jadi warga baru di Iskandariah ini. Lepas pergi Rumah Johor, saya mahu santai dan rehatkan diri di rumah sendiri!
al_jantanie
manhumi_ilm
Saturday, September 24, 2005
Jangan Rasa Kosong
Jangan rasa nihil walau seorang atau berdua. Jangan rasa kosong biar pantai Asofirah @ Montaza @ Mandarah tidak kau tatap tiap-tiap saat. Udaranya, dinginnya, hamisnya. Dan tolonglah jangan engkau, berputus asa.
al_jantanie
manhumi_ilm
Friday, September 23, 2005
Boikot
قاطعوا منتجات الشركات الداعمة لإسرائيل
Boikot produk syarikat yang mendokong Israel
setakat ini sahaja.
al_jantanie
Thursday, September 22, 2005
Madinah Ahlam
Baru dua jam terlena di atas katil (setelah bersungguh dalam malas mengemas bilik) saya dikejutkan deringan mahmul minta perhatian. Daripada tetamu pertama saya setelah perpindahan ke Madinah Ahlam (kata seorang sahabat).
Saya bukan merasa berat mahu menulis, tetapi flashdisk rosak dan saya ragu-ragu, kafe siber yang mana satu membenarkan penggunaan disket. Em. Nampaknya, kalau hendak kerja mudah, saya perlu ada flashdisk.
Saturday, September 17, 2005
Catatan Awal Pagi
al_jantanie
manhumi_ilm
Thursday, September 15, 2005
Hijjaz Dan Saya
Hijjaz Dan Saya
SATU
"Assalamualaikum."
"Waalaikumussalam."
"Enta di mana?"
"Dalam perjalanan ke Kaherah."
"Ana nak minta tolong."
"Ya."
"Esok temuramah Hijjaz."
"Esok? Saya?"
"Jam 10 pagi. Ana ambil enta di Rumah Johor."
"Macam mana, ya. Em, kalau orang lain?"
"Siapa orang lain? Ana tak tahu hendak minta tolong siapa."
"Ana dah pencen, ustaz. Kalau ana cari orang lain?"
"Boleh saja. Nanti telefon ana semula."
DUA
Meninggalkan rumah, saya bertolak ke Kaherah. Bergegas ke Hayyu Asyir kerana janji pulang kereta jam 10. Iskandariah saya tinggalkan begitu sahaja. Tentu Asyir sedang bergegar dengan forum. Jumlah pasti tinggi tambah berganda apabila khitamnya adalah nasyid Hijjaz. Dan saya? Sedang mencari gandingan temuramah esok pagi.
TIGA
Usai temuramah dengan hampir belasan soalan 'tahap mahasiswa universiti' (kata orang, kalau mahasiswa temuramah pun serupa macam akhbar murahan temuramah, apa erti?) saya mahu undur diri tetapi dihadang kawan. Dia mahu saya menemani dia kerana dia diminta menemani Hijjaz. Jadi, pangkat saya bertukar dari penemuramah kepada 'penemujalan'.
Saya dan kawan membawa Hijjaz (lebih tepat, saya cuma teman, sebab tak berbuat apa-apa) pergi mencari sedikit barang makanan (buah tangan), kemudian makan tengahari semeja, beli sedikit di pasaraya, angkat barang, cari barang, temani ke lokasi persembahan dan tulis lirik. (ada lirik dalam bahasa arab)
EMPAT
Itulah, dan hampir satu hari (14/9) saya habiskan dengan Hijjaz. Barangkali itulah harga paling kurang yang sepatutnya saya hadiahkan untuk seorang yang bergelar tetamu.
al_jantanie
manhumi_ilm
ps: saya cuma menemani, itu pun kebetulan. Anda lebih layak temani Hijjaz. Anda kan peminatnya?
Nota Khotimah Bukan Khulasoh:
1. Terima kasih pada Ustaz Azhari sebab bagi pinjam baju.
2. Terima kasih pada Ustaz Nazar sebab tunjukkan Castella.
3. Terima kasih pada Ustaz Lokman dan Ustaz Firdaus Sulaiman sebab bantu saya pindah rumah.
4. Bukankah temuramah dinilai pada isinya?
Tuesday, September 13, 2005
Asofiriey, Iskandariyyi
"Mana barang-barang kau?"
"Dalam almari."
"Almari kau kosong."
"Almari di sana penuh."
"Sana itu di mana?"
"Montaza."
"Montaza?"
"Asofirah."
"Bila?"
"Apa yang bila?"
"Bila pindah?"
"Tadi."
al_jantanie
manhumi_ilm
Halangan Terbesar Penulis Mesir
Saya menulis di komputer kawan kali ini.
Sewaktu saya bertanya kepada diri akan sebab pertama, dan dugaan pertama, bahkan pandangan serong yang pertama saya terima mengenai penulisan (dalam bahasa Melayu)
Tentu sekali, apabila saya kerap bertanya kepada diri berkenaan soalan ini
Cuba anda bayangkan. Seorang yang bergelar mahasiswa 'Bahasa Arab' terlalu kerap menulis dalam Bahasa Melayu. Apa pandangan pertama yang akan anda berikan padanya?
Inilah halangan terbesar bagi saya, bahkan bagi semua mahasiswa Mesir apabila mahu menulis sesuatu dalam Bahasa Melayu. Lebih-lebih lagi apabila ada antara kami ditohmah tidak mahir berbahasa Arab
Saya boleh kata, bahawa kesedaran menulis datang dari diri, tetapi apabila diri sendiri mempersoal kewajaran 'menulis dalam Bahasa Melayu' ramai penulis tarik diri. Kerana itu penulis dari bidang agama berkurangan? Menulis dalam Bahasa Melayu boleh 'melemahkan Bahasa Arab?'
Tetapi saya menulis juga. Tetapi kali ini, setelah setahun (lebih sedikit) saya temui sesuatu yang patut saya kongsikan dengan anda semua.
Menulis dalam bahasa ibunda tidak melemahkan Bahasa Arab bahkan semakin menguatkan penguasaan itu SEKIRANYA anda memahami konsep penghujahan dalam artikel, dan SEKIRANYA anda memahami konsep ilmu bantu dalam cerpen. Penghujahan dalam artikel berkehendakkan anda mendatangkan hujah, dan hujah (kalau bagi seorang mahasiswa di Mesir) adalah didapati daripada kitab-kitab ARAB! Bahkan ilmu bantu dalam cerpen
Jadi, mengapa harus berundur dari penulisan berbahasa ibunda, sedangkan kitalah jambatan pemindah ilmu antara dua bahasa!
al_jantanie
manhumi_ilm
Saturday, September 10, 2005
Intikhoobaat Versi Kain Rentang
الإتحاد يؤيد السيد حسني مبارك كرئيسا لمصر الجديدة
Persatuan menyokong Tuan Husni Mubarak sebagai pemerintah Mesir Yang Baru.
نحن ندعمك و نساعدك يا السيد
Kami menyokongmu dan membantumu wahai tuan
مبارك رجل الحرب والسلام
Mubarak, Pemuda (tonggak) dalam peperangan dan keamanan.
من أجل حياة أفضل، نؤيدك رئيسا لجمهورية
Demi kehidupan yang lebih baik, kami menyokongmu menjadi pemerintah untuk republik (ini)
بالقلب والعقل اخترناك
Dengan (sepenuh) hati dan akal, kami memilihmu.
من أجل العبور للمستقبل
Demi merentas masa hadapan
رجل الأمن والأمان
Pemuda keamanan dan keamanan (ketenteraman)
أنت حلم مصر
Engkau impian Mesir
مبارك، القيادة والعبور
Mubarak, pemimpin dan perentas (ke masa hadapan)
Ya, tolong semak dan kalau salah atau ada yang lebih tepat mahupun cadangan, kirim sahaja dalam ruangan komentar.
Thursday, September 08, 2005
Sedih
Pertama, kerana seorang sahabat berpangkat senior pulang langsung ke tanahair, dan beliau agak karib dengan saya. Pulang dengan beberapa madah lagi yang belum selesai di tahun 4. Dia bilang dan suaranya dicapai cuping saya; ana balik setahun dua, kerja dahulu, cari duit dan kemudian baru sambung semula.
Saya, di hari-hari kepulangannya telah ke Iskandariah atas urusan tugas. 3 hari. Saya lupa dan bila pulang ke kota besar Kaherah saya, dia tiada. Saya terlepas. Dia pulang, hilang, dan sedar-sedar sahaja, seorang kawan datang mencuit bahu menghulur sesuatu yang ditinggalkan untuk saya. Kopiah. Sampai sekarang, setiap kali saya terpandang kopiahnya, setiap kali terkenang Iskandariah, saya jadi sayu teringatkan senior saya pulang tanpa ucapan – Ilal Liqa’ dan Maas Salamah.
Kedua, seorang pakcik saya kembali ke Rahmatullah dan Maghfirah-Nya. Dia sakit darah tinggi dan jatuh di bilik air lantas koma. Beberapa jam setelah ditempatkan dihospital, dia telah dijemput Tuhan ke alam yang kekal selamanya. Al-Fatehah.
Ketiga, saya sendiri menangisi diri. Entah sejak bila tetapi selepas peperiksaan, lama sungguh tidak mengaji Al-Quran sesungguh hati. Saya kononnya sibuk dengan urusan dan perkara padahal tidak, saya rindu pada satu juzuk setiap malam. Saya gagal lunasi satu juzuk dan kalau dapat, entah berapa muka sahaja. Saya terasa kehilangan diri, dan lebih kecewa bila saya semacam tidak merasa bersalah meninggalkan satu juzuk itu.
Keempat, bulan september ini bakal saksi bermacam-macam perkara, antaranya kepulangan beberapa orang kawan saya ke tanahair menamatkan kuliah di sini. Barangkali semua pulang membawa diri, tetapi mencicirkan kesedihan buat insan-insan yang ditinggalkan.
Kelima, ada kejutan, dan saya tidak terdaya memberitahunya sekarang. Nanti, sampai masa, anda tahu juga. Ia juga buat saya rasa sedih berpangsa-pangsa.
al_jantanie
manhumi_ilm
Wednesday, September 07, 2005
Anda Tahu Cakap Saja
Mengapa tidak anda luaskan fikiran dan lapangkan dada? Mengapa cepat benar hati jadi sempit dan akal jadi pendek, kemudian apabila mereka melafazkan lagi sebabnya anda potong cakap mereka, tolak hujah mereka, pancung keinginan mereka berbicara menjadi dua, tiga, empat, lima...sejuta... kali sejuta.
Kenapa tidak boleh walau sedetik menganggap bahawa mungkin anda tersalah dan mereka betul lalu lapangkan hati, bukakan mata, luaskan minda dan terima! Tetapi anda tak mahu terima. Anda keraskan hati yang memang lembut dan ‘batu’kan hati yang cuma darah, kemudian tolak pendapat mereka mentah-mentah sedangkan anda tahu, pendapat itu diterima bahkan ditolak.
Mengakulah bahawa anda sendiri, pernah berfikir dan berpendapat, kemudian anda sendiri juga menolak pendapat sendiri dan meminggirkannya. Anda sendiri pernah sanggah pendapat diri sendiri. Anda boleh terima kalau itu daripada diri anda sendiri tetapi mengapa apabila berdepan dengan orang lain anda zalim?
Saya tahu anda marah, tetapi apa salahnya bukakan mata kemudian terima. Moga tasamuh anda dibalas Tuhan dengan tasamuh-Nya.
al_jantanie
manhumi_ilm
Tuesday, September 06, 2005
Asas Pemikir
Mengenai Pemikiran, Dan Asas Utama Dalam Berfikir.
Berfikir (dalam erti kata mencari, meneliti dan menghurai) perlu mematuhi satu konsep penting yang tidak seharusnya diabaikan, sebagai seorang yang beragama Islam. Barangkali kalau bukan kerana agama, berfikir tidak akan sesyadid ini.
Fikirlah apa sahaja dengan logik akal, tetapi waspadalah andai ia mula ada kaitan dengan Tuhan dan Zat-Nya, sifat-sifat-Nya, serta segala yang ghaib dan tidak nyata, juga perbuatan-Nya dan segala-gala yang ada kaitan dengan-Nya.
Saya meletakkan kaedah ini sebagai kaedah pertama dalam kaedah Pemikir Islam. Kaedah lain perlu difikirkan tetapi pastinya, tidak patut mengabaikan kaedah pertama dan terutama ini. Kita mengakui kehebatan pemikiran Barat dalam ‘pencarian’, tetapi kebanyakan ‘sesat’ akibat menaakul terlalu pesong daripada hakiki apabila cuba melampaui apa yang tidak mampu dilampaui.
Apabila mereka menaakul mengenai zat Tuhan, sifat-Nya, bahkan perbuatan-Nya, mereka tiada hawas waspada dalam diri kerana tiada agama. Segala yang berkaitan dengan Tuhan ibarat laut dan pemikiran kita sangat kecil nilainya ibarat kuman (atau lebih kecil lagi), belum tentu kalau kita duduk dalam lautan sejuta tahun kita tahu akan segala isinya.
Mungkin lebih tepat, kita yang sebesar kuman di dalam laut, dibanding beza ilmu kita dengan hakiki Tuhan yang melampaui bukan sahaja laut bahkan daratan, langit, cakerawala, hingga ke alam jiwa dan semua itu, bukan sahaja kita bahkan malaikat, masih sangat jahil walau sangat karib dengan Pencipta Segala-Galanya.
Saya menegaskan kaedah ini kerana kesal apabila kita (yang barangkali bijak dan genius) berfikir tetapi langsung mengabaikan asas utama ini sedangkan kita beragama Islam, sangat wajar bahkan mesti berhati-hati dan waspada apabila berbicara mengenai Tuhan dan segala perbuatan-Nya. Hebat-hebat kita menaakul barangkali tepat di logik akal (yang seluas kuman di lautan) tetapi hakikatnya siapa tahu? Barangkali terlalu sesat dengan realiti bila dibanding dengan ilmu Tuhan yang seluas isi kandungan lautan dan langit serta isi alam dan cakerawa, juga segala-galanya.
Maafkan saya jika tulisan ini tidak begitu menjelaskan, tetapi fahami sahaja dengan begini. Fikirkan apa sahaja, tetapi hati-hati kalau ia ada sangkut paut dengan Tuhan. Jelas dalam hadis yang melarang kita berfikir mengenai zat Tuhan, kerana itu adalah gangguan daripada syaitan. Bahkan diminta istighfar, dan berhenti berfikir. Itu bukti ketidaklampauan akal.
Saya meminta waspada apabila berkaitan dengan Tuhan kerana sedar dan faham, kita ini orang Islam, bukan?
al_jantanie
manhumi_ilm
Monday, September 05, 2005
Za'iiman Dan Ikrob
مبارك زعيما وستظل زعيما
Saya memetik ayat ini sedang dalam perjalanan ke Zahra’ Waktu ini sedang dalam fatrah pilihanraya Presiden Mesir.
Persoalannya, bagaimana kita mengikrab perkataan ( زعيما )
(Zaieman) secara asasnya bukan khabar kepada Mubarak, kerana (zaieman) adalah mansub. Walaupun sesetengah ikrab akan membenarkan (zaieman) menjadi khabar dengan cara mahalli. (fi mahalli khabar).
Tetapi, saya tidak menyokong ikrab yang sebegini, sekalipun harus dengan darurat.
Mencari ikrab bagi (zaieman) lebih wajar dengan melihat tanda kedua yang jelas di dalam ayat.
Lihat ( وستظل زعيما)
(tazillu) adalah akhawat (kana) dan membawa hukum mansub. Lebih jelas lagi, ia membawa (wau atof), bermakna…ia tabiek (mengikut) yang sebelumnya. Saya mencadangkan ia diikrab sebagai:
( كان مبارك زعيما وستظل زعيما )
Maaf, saya terlupa hendak menerangkan maknanya. Adalah Mubarak itu seorang ketua, dan dia akan sentiasa menjadi ketua.
Meletakkan (kana) lebih sesuai dan menepati kerana dua faktor pembayang tadi.
Pertama, (zolla) adalah akhawat (kana), maka meletakkan (kana) jauh lebih sesuai daripada yang lain-lain. Kedua, pembawaan (wau atof) memberi erti tabiek (mengikut) yang sebelumnya.
Adapun, mengenai (huruf atof), kita mendapati percanggahan dari segi jenis fe’el.
Adapun fe’el kana (yang saya cadangkan) berbentuk (madhi), dan fe’el (zolla) yang berada dalam ayat berbentuk (mudharik). Saya menghuraikannya sebagai sesuai dari aspek maknawi yang dibawa oleh ayat.
Lihat makna ayat.
(وستظل زعيما
Ayat ini memberi erti (dan dia akan sentiasa menjadi ketua). Akan dalam ayat ini membawa maksud mudharik, dan sebagai pemadanan saya kira patut diletakkan ayat madhi. Kerana selepas mubarak itu ‘telah’ menjadi ketua, barulah istilah ‘sentiasa’ menjadi ketua dikira sesuai dengan keadaan.
Bagaimana? Anda setuju? Beri pandangan!
manhumi_ilm
Neraca, Wajarkah Pilih Yang Ringan?
Neraca, wajarkah pilih yang ringan?
Musim Pilihanraya Kampus tiba lagi. Sekali lagi dan entah sampai bila saya akan mengambil mauqif sebegini. Barangkali mauqif yang sebegini akan terus relevan selagi sebab berada kukuh di tempatnya.
Mengenai pemilihan kepimpinan. Kewajaran penerimaan dan penolakan.
Tahun sudah, Syiba
Betul, melatih kepimpinan adalah satu tugas penting dalam sejarah umat Islam. Khilafah atau kepimpinan adalah salah satu tunjang yang penting demi menjaga keutuhan Umat Islam. Itu kebenaran yang tidak saya nafikan. Itu adalah bahagian neraca yang memberat. Tetapi jangan lupa, Abu Hurairah pernah menolak jawatan yang ditawarkan kepadanya oleh Umar. Adakah Abu Hurairah belum cukup baik dan belum cukup alim? Adakah Umar sudah tersilap langkah dan jahil dalam pembahagian tugas? Barangkali inilah yang saya katakan, kita perlu melihat juga bahagian neraca yang meringan.
Saya ada sebab mengapa menolak dan mengapa penolakan ini bukan satu kesalahan.
Pertama, menjaga wala’ perlu kepada orangnya. Sekiranya pemimpin dipilih dan wala’ dicemar, ia semacam satu musibah.
Kedua, pemimpin tidak sewajibnya orang yang hebat, tetapi perlu dibantu oleh orang yang hebat. Hassan Al-Banna ketika ditanya mengenai pemimpin sesudahnya, beliau menjawab; pilihlah orang yang paling lemah daripada kalangan kamu, kemudian bantulah dia beramai-ramai supaya menjadi orang yang paling kuat diantara kamu.
Ketiga, jangan menjadikan kepimpinan sebagai galang ganti kepada pelepasan tugas. Jangan melantik orang sebagai pemimpin kalau sudah dari awal-awal lagi sudah tidak mahu membantunya. Mengapa semacam sudah sinonim ketua dipilih dari kalangan orang yang hebat, kemudian pengikut semuanya lari semacam memberi tahu suatu hakikat – Ketua sudah hebat, jadi apa perlunya pada pengikut?
Keempat, memilih kepimpinan perlu melihat kepada penjagaan keseimbangan dalam pertubuhan. Menjaga keseimbangan bererti, jangan sampai wujud satu tugas yang langsung hilang pengurusan. Barangkali saya sesuai untuk tugas A, tetapi kalau tugas B akan terabai tanpa saya, apa ertinya saya mengambil tugas A? Sedangkan tugas A masih boleh diuruskan oleh orang lain!
Kelima, kepimpinan banyak menghilangkan suara, kerana ketua yang baik bukanlah seorang yang suka menjawab dan mempertahankan diri. Ketua yang baik adalah ketua yang belajar menerima kesalahan dan apabila dipersoal, ia lebih bersetuju dengan khalayak. Itulah nilai kesatuan dalam pengorbanan yang besar harganya. Sedangkan saya? Anda perlukan suara saya tetapi dalam masa yang sama mahukan saya menutup mulut?
Keenam, anda silap memberi takrifan kepada ketua. Siapa ketua seperti dalam takrifan anda? Ketua adalah orang yang membuat keputusan, dan setelah keputusan dibuat, dia akan turun dari nama ketua, bersama-sama anak buah melakukan kerja beramai-ramai. Ketua kurang wajar dipilih dari kalangan orang yang hanya tahu membut kerja, tetapi kurang waktu untuk memikirkan keputusan yang wajar diambil.
Ketujuh, ada individu yang sudah ada tugasan sebelum diberi tugas, sudah jadi ketua sebelum dilantik. Jadi mengapa mahu memenuhkan sebelah neraca dan mengosongkan langsung neraca yang separuh lagi? Itu tidak wajar bukan?
Kelapan, membentuk kesatuan bukan dengan nilai satu orang. Kesatuan dibentuk dengan harga sebuah jamaah. Oleh itu, pilihlah ketua dari penyatu bukan pembelah.
Kesembilan, kita masih ramai pemimpin bukan? Jadi jangan gopoh.
al_jantanie
manhumi_ilm
pena_sastera
Thursday, September 01, 2005
Membersihkan Nama, Dan Mengambil Pengajaran
(Menurut mesej itu juga) D.M bertanyakan mahasiswa al-Azhar (saya tidak pasti dalam sesi perjumpaan yang mana satu, sebab ada banyak sesi di banyak tempat) – siapa ada baca suratkhabar, tiada seorang yang angkat tangan. Bila diberi peluang bertanya, mahasiswa al-Azhar asyik bertanya – apa sumbangan kerajaan. Bahkan D.M turut melaporkan bahawa seorang yang berpangkat besar dalam kuliah di sebuah muhafazah menyatakan bahawa – mahasiswa al-Azhar ini summun, bukmun, umyun (pekak, bisu, buta) kerana di dalam kuliah apabila doktor bertanya faham atau tidak, mereka tidak jawab pun.
Perlu saya jelaskan di sini, saya menulis kembali apa yang saya terima. Benar atau tidak tuduhan itu, boleh dibuktikan oleh mereka yang menonton rancangan itu sendiri di Malaysia.
Biarlah saya menulis sesuatu yang saya tahu berlaku. Kalau salah tolong betulkan, kalau kurang tolong tambah.
Satu, D.M datang demi misi Islam Hadari. Dua, Muntada (Majlis atau yang dimaksudkan di sini adalah kelab) Islam Hadari berjaya ditubuhkan di Mesir sekalipun gagal ditubuhkan di Jordan dan Syria (menurut maklumat yang saya terima). Tiga, D.M diserang dengan soalan-soalan yang menyesakkan hingga beliau naik marah. Empat, mengadakan beberapa sesi perjumpaan dengan mahasiswa al-Azhar di beberapa tempat, dalam beberapa hari yang berbeza, bukan di satu tempat dan di satu masa tertentu.
Sebagai seorang Azhari, satu - saya lebih suka untuk tidak menjawab dan membersihkan nama sendiri kerana sikap yang baik adalah menerima kritikan supaya kita membetulkan diri. Ia peluang terbaik bermuhasabah, dua- apabila mahasiswa al-Azhar dihentam secara keseluruhannya, ia adalah satu penipuan kerana adakah seluruh manusia itu satu jenis? Apakah langsung tiada yang pandai? Semuanya bodoh? Adakah semuanya tidak membaca suratkhabar? Adakah semuanya bila ditanya doktor tidak menjawab, kerana ada juga yang bukan sahaja menjawab pertanyaan doktor, malah bertanya doktor. Adakah semuanya tidak boleh berbahasa Arab, langsung tiada? Adakah semuanya tidak bergaul dengan masyarakat tempatan, atau cuma sebahagian sahaja? Oleh kerana D.M adalah orang cerdik pandai maka barangkali apabila ia menggunakan lafaz kullu, ia bermaksud bak’du. (Lafaz semua, tetapi bermaksud sebahagian. Uslub ini banyak digunakan dalam al-Quran dan hadis).
Perlu juga saya ingatkan kepada mahasiswa al-Azhar supaya berlapang dada dan tidak melenting, kerana kalau kita melenting kita akan dituduh ekstremis, tetapi jangan juga berdiam diri kerana nanti kita dikatanya jumud, pasif. Ambillah pengajaran dan peluang memperbaiki diri.
Tetapi perlu juga nama al-Azhar dibersihkan kerana sekiranya tidak dibersihkan orang akan menolak mentah-mentah. Saya menyatakan sebagai begini.
Tidak boleh berbahasa Arab. Kemahiran dalam Bahasa Arab itu ada 4. Satu membaca. Dua menulis. Tiga mendengar. Empat bercakap. Saya akan katakan bahawa, jarang-jarang ada orang yang boleh menguasai semuanya. Jadi, kalau susah ditemui, jangan salahkan kami seluruhnya. Kelemahan membaca menjadi sangat ketara apabila sistem pembelajaran di Malaysia terlalu mementingkan kejayaan. Kerana itu, pelajar dibentuk supaya menuntut ilmu demi peperiksaan. Bahkan, guru turut ditekan sekiranya prestasi menurun dari tahun ke tahun. Langkah termudah adalah – suap. Jangan latih pelajar membaca sendiri, sebab ia sangat lambat. Kalau buat juga begitu nanti muqarrar lambat habis. Keputusan periksa akan merundum jatuh. Sekolah akan malu. Sekiranya D.M ikhlas mahu membetulkan keadaan, dan dengan kedudukan yang agak kukuh dalam kerajaan, mengapa realiti ini tidak dibetulkan sejak dari Malaysia lagi?
Saya tidak mahu mengulas mengenai kelemahan menulis. Semua orang yang memerintah itu penuliskah? Atau pemberi arahan sahaja? Mereka intelek bukan?
Kelemahan mendengar dan bercakap. Cuba himpunkan seribu orang yang saling tidak kenal mengenali dan cuba buat analisis berapa ramai yang sikapnya peramah. Kemudian, minta seribu orang itu berbual dalam Bahasa Melayu sesama mereka, bukan bahasa Arab. Kemudian beritahu saya, betapa mereka semua itu adalah orang yang tidak menguasai Bahasa Melayu padahal sudah duduk di Malaysia sejak lahir!
Sistem pembelajaran di Malaysia kurang menekankan (atau mungkin tidak ada) konsep mendengar dan bercakap. Lantas pelajar berasa sangat asing dengan sebarang bunyi. Kalaupun ada, apabila mereka sampai ke Mesir, bunyi bahasa Arab yang mereka dengar sangat lain dari apa yang mereka belajar. Fahami sebagai, ada dua bahasa yang perlu dipelajari secara serentak. Ish, saya sudah berjela-jela. Perlu diringkaskan.
Maafkan kami D.M kalau kami tidak berapa tahu tentang dunia hari ini dan tentang Malaysia. Kan D.M tahu kami ini jurusan Syariah, Usuluddin, Lughah Arabiah, Dirasat, tetapi dipaksakan juga menguasai Bahasa Inggeris, IT, komputer, kepimpinan, dan segala jenis kemahiran supaya boleh menghentikan segala kritikan kalian. Kan kami agamawan yang mesti tahu segala-galanya. Lainlah kalau U* atau U** atau U-U yang lain. Boleh tumpu bidang mereka saja. Tapi kami tidak. Mesti tahu bahasa Arab, bahasa Inggeris, tahu komputer, tahu internet, tahu IT, tahu kepimpinan, tahu kemahiran itu, kemahiran ini, kerana kami inikan siswa super yang mesti tahu semuanya. Kalau tidak tahu satu nanti dikatanya kami bodoh, jumud. Em. Dan rasanya D.M patut belikan kami komputer seorang sebiji, berikan duit untuk pasang internet, berikan juga duit untuk beli kitab-kitab Syariah, Usuluddin dan Lughah (semua orang mesti ada semua kitab itu, kan minta kami tahu semuanya). Dan lebih penting lagi kami mahu tanya, mengapa susah dapat pinjaman atau zakat lambat sampai hingga kami mahu makan pun perlu berkira, atau mengapa ada zakatnya kena tarik balik? Jadi, macam mana kami mahu kuasai segala-galanya?
Jadi, pelajar yang pandai-pandai harus ke sini sebab di sini kamu mesti jadi pelajar super bijak dan menguasai segala-galanya. Kalau di Universiti dalam negara kamu tidak akan dipaksa mengetahui segala-galanya. Cukup dengan bidang kamu saja.
Saya masih ingat ketika saya mengajar di sebuah sekolah dahulu, apabila bertanyakan anak murid yang ada di depan mata, sesiapa ada soalan, semuanya senyap. Barangkali anak-anak murid saya itu semuanya pekak, bisu dan buta. Maafkan saya, anak-anak murid. Ini mengikut teori D.M. Kalau ikut teori orang tua-tua, orang Melayu ini pemalu. Atau kalau ikut teori anak dara yang kalau ditanya pasal kahwin, diam itu maknanya setuju.
Bahkan tidak keterlaluan kalau saya bercerita pengalaman saya ketika mahu mengutip undi dalam satu mesyuarat – Berapa yuran tahunan? Lima ringgit atau dua ringgit? Undi dikutip dengan mengangkat tangan. Saya katakan pada seorang kawan, kalau hendak kutip lima ringgit, kena mulakan undian angkat tangan pada pilihan dua ringgit. Pasti semua tak angkat tangan. Sebab malu. Sebab masing-masing akan tengok orang lain. Jadi secara automatik, kita kata – semua nampaknya setuju kutip lima ringgit. Sebab tiada yang angkat tangan untuk kutip dua ringgit. Alangkah! Em, D.M. Mengapa hari itu tidak tanyakan dulu – Siapa yang tidak baca suratkhabar. Saya ulangi. Tanyakan – siapa yang tidak. Mesti semua tidak angkat tangan sebab malu. Jadi, itu bererti semua baca surtkhabarkah?
Perlu juga saya tegaskan di sini, saya tidak bermaksud mahu membersihkan nama kalian (Azhari) kemudian dengan tenang kalian (Azhari) merasa senang lenang dan tidak mahu memperbaiki diri. Kritikan D.M itu ada benarnya juga. Saya tertarik mahu petik satu. Iaitu – kuasai Bahasa Arab!
Mohd Zaki
Ahlan Wa Sahlan
Mari kita renungi ayat
أهلا و سهلا
(Ahlan Wa Sahlan) membawa maksud :Selamat Datang. Tetapi tahukah kita asal usulnya?
Kata kawan saya, ia berasal daripada ayat
أصبحت أهلا لي و دخلت بيتي سهلا
(Kamu telah menjadi ahli keluargaku, dan kamu boleh masuk ke rumahku dengan mudahnya)
Meneliti I’rab menjelaskan sesuatu yang amat ketara dalam ayat (Ahlan wa Sahlan). Ini keran ayat dalam bahasa Arab asalnya adalah marfu’. Sebarang ayat bermula dengan mansub membawa erti yang sangat jelas dan ketara. Kewujudan mahzuf dalam ayat.
Permasalahan adalah mencari mahzuf. Apakah mahzuf yang sesuai dengan ayat?
Dalam mentakdirkan mahzuf yang mansub, kita boleh mengkadarkan mengikut bentuk ayat. Juga meneliti gaya ayat. Kalau ayat bermula dengan kalimah mansub, maka kalimah yang mansub itu boleh jadi ( maf’ul bih / maf’ul mutlak / hal / tamyiz / ismu inna / khabar kana dll)
Memendekkan penerangan, saya mengikrabkan ayat (ahlan wa sahlan) sebagai,
Ahlan: Maf’ul bih atau lebih tepat, khabar kana.
(kalau dengan takdir maf’ul bih maka ayat asal adalah :
جعلتك أهلا لي
Manakala kalau dengan takdir khabar kana seperti penerangan di atas.)
أصبحت أهلا لي
Adapun perkataan kedua, iaitu Sahlan, saya berpendapat ia adalah hal dengan takdir ayat di atas.
و دخلت بيتي سهلا
Barangkali, mengikrabkan ia sebagai maf’ul mutlak juga boleh, dengan lafaz siyak kalam yang berbeza.
Sebagai contoh
وسهلك سهلا
Dalam keadaan yang terhad, setakat ini sahaja yang boleh kita kongsi.
al_jantanie
manhumi_ilm
Terbit
Apapun terima kasih atas ucapan yang banyak. Karya itu cuma hasil yang sebenarnya masih banyak kekurangan, kelemahan. Barangkali dengan nasib baik ia tembus. Yang selebihnya, kerja Tuhan yang mengatasi segala rancangan.
al_jantanie
manhumi_ilm
Merdekakan Pantun Kita
Tema Ukhuwwah:
Emas Kutabur Madu Kucurah,
Mengapa Tuba Balasan Darimu,
Hampas ditabur bersatu kuah,
Tuba Sudah Sebati Susu.
Tema Merdeka:
Kubilang Merdeka Dengan Hati,
Rakyat Hidup Jiwanya Mati,
Kudagang Nyawa Dengan Diri,
Negara
Tema Bebas:
Aur Tebing Kenapa Berteman,
Gigi Lidah Kenapa Bertingkah,
Aur Tebing Bersama Berperanan,
Gigi Lidah Berlaga Bercanggah.
(Garis Potong Menandakan Salah Tulis. Maaf.)
al_jantanie
manhumi_ilm